Jumaat, 29 Julai 2016

Watson buat 10.31 saat

ARKIB : 29/03/1998
 
SAMPAI DULU....Watson Nyambek (196) bergaya melintasi garisan penamat 100 meter dengan mencatat rekod baru kebangsaan 10.31 saat pada Kejohanan Olahraga Terbuka Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan. - Gambar M. NAZUDEEN MAHMUD.

HASRAT raja pecut negara, Watson Nyambek untuk beraksi dalam acara 100 meter pada Sukan Komanwel ke-16 akhirnya menjadi kenyataan apabila dia mencatatkan masa 10.31 saat pada Kejohanan Olahraga Terbuka Pahang, di Kuantan semalam.

Catatan itu sekali gus memecahkan rekod kebangsaan yang dipegangnya, 10.33s dan melepasi had kelayakan Sukan Komanwel 10.42 saat yang ditetapkan oleh Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM).

Watson sebelum itu hampir memecahkan rekod yang dipegangnya sendiri 10.33s apabila mencatatkan masa 10.34s pada separuh akhir yang diadakan pada sebelah pagi.

Pelari yang mendapat jolokan The Flying Dayak itu meninggalkan pelari Selangor, Hamberi Mahat yang ketinggalan 0.14s dengan catatan 10.45s.

Manakala pelari tuan rumah, R. Ganeshwaran yang turut memberi saingan hebat terpaksa berpuashati di tempat ketiga dengan catatan masa 10.56s.

Rekod kebangsaan yang dipegang Watson turut dilakukannya di Stadium Darulmakmur pada Sukan Malaysia ke-VI dua tahun lalu.

Watson ketika ditemui selepas perlumbaan itu berkata, dia tidak menduga sama sekali berjaya memecahkan rekod kebangsaan yang disandangnya.

''Ini kerana matlamat saya hari ini (semalam), hanya untuk melepasi masa kelayakan Sukan Komanwel iaitu 10.42s, lagipun tekanan agak kurang,'' katanya.

Menurutnya, dia berlari seperti biasa dan hanya menumpukan perhatian untuk mencatatkan masa yang lebih baik daripada catatan yang dilakukan pada Terbuka Sarawak, 22 Mac lalu dengan catatan 10.46s.

''Darulmakmur memang gelanggang bertuah, selepas saya memecahkan rekod kebangsaan dua tahun lalu, kini di gelanggang yang sama saya dapat melepasi had kelayakan Komanwel,'' ujarnya.

Ditanya kemampuannya untuk mengulangi catatan yang sama atau lebih baik pada Terbuka Selangor minggu depan dia dengan rendah diri berkata: ''Tak boleh nak cakap, itu kena tanya Mumtaz Jaafar.''

Oleh: YUSWANDI MAJID




Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0329&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4FoJ80NiQ © Utusan Melayu (M) Bhd

Watson hanya mampu tempat ketiga

ARKIB : 22/03/1998
WALAUPUN tidak begitu menyerlah pada hari pertama Kejohanan Olahraga Terbuka Sarawak, namun kepulangan Raja Pecut Negara, Watson Nyambek ke Bumi Kenyalang tetap mendapat perhatian.

Beliau sekadar mencatatkan masa 22.81 saat untuk menduduki tempat ketiga acara 200 meter semalam, di belakang rakan sepasukannya, R. Ganeshwaran dan Amri Mahat.

Ganeshwaran yang mewakili Bank Bumiputra Malaysia Berhad (BBMB) menduduki tempat pertama dengan catatan 21.80 saat manakala Amri yang mewakili Selangor pula merekodkan masa 22.40 saat untuk tempat kedua.

Masa yang dicatatkan oleh pelari kebangsaan itu tidak seharusnya dibimbangkan memandangkan penyertaannya lebih bermirip psikologi bagi menghilangkan gementar untuk bersaing dalam acara itu pada masa depan.

Menurut Watson, acara 200 meter yang disertainya semalam adalah untuk 'memanaskan badan' bagi menghadapi kejohanan lain pada masa depan.

''Sudah empat tahun saya tidak mengambil bahagian dalam acara 200 meter kerana saya lebih menumpukan kepada 100 meter,'' katanya di Stadium Negeri, Kuching semalam.

Pelari yang terkenal dengan jolokan The Flying Dayak itu tercedera semasa bertanding dalam acara 200 pada Sukan SEA di Chiang Mai 1995.

Ditanya mengenai acara kegemarannya 100 meter, Watson yang akan menyertai acara tersebut pada hari ini memberitahu beliau bersedia untuk mencatatkan masa yang baik.

''Saya yakin dapat mencatatkan masa yang baik memandangkan saya mempunyai 'form' yang baik ketika ini,'' ujarnya.

Sementara, itu jurulatih Mumtaz Jaafar berkata, walaupun pelari bimbingannya menduduki tempat ketiga Watson kelihatan berlari dengan tenang semalam.

Menurut Mumtaz, pelari itu meletakkan sasaran untuk memperbaiki masanya dalam acara 100 meter pada sukan Pra-Komanwel pada Jun ini.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0322&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4FmOzF81f © Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 28 Julai 2016

Prestasi Watson dalam perhatian

ARKIB : 21/03/1998
KELIBAT raja pecut negara, Watson Nyambek sememangnya dinantikan tetapi sejauh mana prestasi semasanya akan diukur apabila tirai Kejohanan Olahraga Terbuka Sarawak bermula di Stadium Sarawak hari ini, lapor ANUAR ARIFFIN.

Selepas kemunculannya dalam beberapa siri kejohanan peringkat tempatan dan antarabangsa tahun ini gagal menghasilkan sebarang kejayaan cemerlang, keupayaan Watson dilihat kerap tidak menentu.

Justeru, pelari kelahiran Miri, Sarawak itu perlu menjadikan kejohanan dua hari ini sebagai gelanggang memantapkan daya pecutan sebelum turun menggalas cabaran sebenar pada Sukan Komanwel ke-16 di Kuala Lumpur, September depan.

Bagi Watson, 21, inilah masa terbaik baginya mengikis kelemahan dalam usahanya memperbaiki catatan terbaik peribadi.

Catatan emas pelari yang terkenal dengan jolokan The Flying Dayak ini ialah 10.33s yang dicipta pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-6 di Pahang, dua tahun lalu.

Watson tiba di Kuching dua hari lalu bersama jurulatihnya, Mumtaz Jaafar.

Terbuka Sarawak turut menampilkan aksi beberapa pelari kebangsaan seperti P. Kunageswari dan Ganeswaran yang akan bersaing dalam acara 200m dan 400m.

Kemampuan Watson akan diuji oleh beberapa muka baru yang kini diasuh bagi mengambil tempat sebagai raja pecut negara suatu hari nanti.

Antaranya ialah Boniface Lejau, 16, dan Jiw William, 18, kedua-duanya dari Sarawak yang disebut-sebut berupaya memalitkan malu kepada Watson sebagai raja pecut terbaik negara setakat ini.

Masa terbaik Boniface ialah 11.06s yang dicipta pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) di Kuching tahun lalu manakala Jiw ialah 11.02s.

Sementara itu, Watson turut ingin bersaing dalam acara 200m yang bukan merupakan acara utamanya.

Ini diakui sendiri oleh jurulatihnya, Mumtaz yang berkata, beliau tidak menghalang Watson untuk menyertai acara tersebut.

''Walaupun prestasinya dalam acara 200m tidak begitu baik, hasratnya itu mungkin baik dari segi meningkatkan daya pecutan.

''Dia pernah beraksi dalam acara itu (200m) pada Kejohanan Olahraga Jemputan Kuala Lumpur tetapi gagal menyerlah,'' katanya di Kuching, semalam.

Mumtaz berkata, beliau yakin Watson dapat menghasilkan sesuatu yang terbaik dalam acara 100m kali ini.




Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0321&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4FmF0YLW8 © Utusan Melayu (M) Bhd