ARKIB : 14/03/2006
Ads by Kiosked
Permulaan memberangsangkan
daripada Siew Wei
Daripada Khalid Saad
JAGUH 100 meter lari berpagar
negara, Moh Siew Wei beraksi pada satu kejohanan tempatan Disember tahun lalu.
Siew Wei melakukan kejutan apabila memenangi acara itu pada kejohanan pemanas
badan di Bendigo, Australia menjelang Sukan Komanwel XVIII Melbourne, Rabu ini.
MELBOURNE - Skuad olahraga
negara mencipta kejayaan membanggakan menjelang Sukan Komanwel yang bermula
dengan rasminya Rabu ini dengan atlet 100 meter lari berpagar wanita, Moh Siew
Wei memenangi acara itu pada satu kejohanan pemanas badan di sini, semalam.
Pemenang pingat emas Sukan SEA
Manila itu mencatatkan masa 13.50 saat untuk memenangi kejohanan pra-Melbourne
yang berlangsung di Bendigo (luar Melbourne).
Bagaimanapun, masa yang
dicatatkannya itu berada di bawah catatan peribadi terbaiknya 13.39 saat ketika
memenangi pingat emas di Manila, Disember lalu.
Siew Wei menewaskan atlet dari
England, Julie Holeman dan Joy Dicna dari Nigeria, yang masing-masing mencatat
masa 13.81s dan 14.01s.
Selain Siew Wei, kejohanan ini
turut disertai oleh dua lagi atlet negara yang akan beraksi dalam Sukan
Komanwel.
Jaguh lompat bergalah wanita,
Roslinda Samsu, memenangi tempat kedua dengan catatan 3.80 meter dibelakang
atlet dari Australia, Hill Irie yang melepasi paras 3.95 meter sementara Justin
McEwen di tempat ketiga dengan 3.50 meter.
Catatan Roslinda itu juga
berada di bawah rekod peribadi terbaiknya 4.20 meter ketika memenangi pingat
emas dan mencatat rekod baru Sukan SEA di Manila, Disember lalu.
Dalam acara lompat tinggi
lelaki, Ahmad Najwan berjaya melepasi ketinggian 2.00 meter di belakang atlet
dari Scotland, Taylor Mark yang memenangi acara itu dengan ketinggian 2.19
meter sementara Adam Martin dari Isle of Man melepasi ketinggian 2.05 meter.
``Saya gembira dengan prestasi
atlet secara keseluruhan. Robani Hassan bagaimanapun hanya menyertai acara 100
meter kerana acaranya yang sebenar 110 meter tidak dipertandingkan kerana
kurang penyertaan, kata pengurus pasukan olahraga negara, S.O Appan.
Noraseela Khalid juga tidak
dapat bertanding dalam acara 400 meter lari berpagar wanita kerana kurang
penyertaan.
``Saya tetap gembira, walaupun
ada atlet yang tidak dapat bertanding kerana acara mereka dibatalkan. Pencapaian
atlet ini menunjukkan bahawa mereka sudah bersedia untuk menghadapi temasya
ini,'' kata Appan.
Kejohanan pemanas badan di
Bendigo ini disertai oleh kalangan atlet dari lapan negara yang menyiapkan diri
untuk menghadapi Sukan Komanwel yang bermula dengan rasminya Rabu ini.
Berdasarkan rekod olahraga,
Malaysia pernah memenangi pingat emas pada Sukan Komanwel di Kuala Lumpur 1998,
menerusi G. Saravan dalam acara 50km jalan kaki.
Empat tahun kemudiannya,
olahraga menyumbang pingat gangsa di Manchester menerusi Yuan Yu Fang dalam
acara jalan kaki wanita.
- Utusan
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0314&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4koPinTRw
© Utusan Melayu (M) Bhd