Jumaat, 23 Jun 2017

Permulaan memberangsangkan daripada Siew Wei



ARKIB : 14/03/2006
Ads by Kiosked
Permulaan memberangsangkan daripada Siew Wei
Daripada Khalid Saad
JAGUH 100 meter lari berpagar negara, Moh Siew Wei beraksi pada satu kejohanan tempatan Disember tahun lalu. Siew Wei melakukan kejutan apabila memenangi acara itu pada kejohanan pemanas badan di Bendigo, Australia menjelang Sukan Komanwel XVIII Melbourne, Rabu ini.


MELBOURNE - Skuad olahraga negara mencipta kejayaan membanggakan menjelang Sukan Komanwel yang bermula dengan rasminya Rabu ini dengan atlet 100 meter lari berpagar wanita, Moh Siew Wei memenangi acara itu pada satu kejohanan pemanas badan di sini, semalam.

Pemenang pingat emas Sukan SEA Manila itu mencatatkan masa 13.50 saat untuk memenangi kejohanan pra-Melbourne yang berlangsung di Bendigo (luar Melbourne).

Bagaimanapun, masa yang dicatatkannya itu berada di bawah catatan peribadi terbaiknya 13.39 saat ketika memenangi pingat emas di Manila, Disember lalu.

Siew Wei menewaskan atlet dari England, Julie Holeman dan Joy Dicna dari Nigeria, yang masing-masing mencatat masa 13.81s dan 14.01s.

Selain Siew Wei, kejohanan ini turut disertai oleh dua lagi atlet negara yang akan beraksi dalam Sukan Komanwel.

Jaguh lompat bergalah wanita, Roslinda Samsu, memenangi tempat kedua dengan catatan 3.80 meter dibelakang atlet dari Australia, Hill Irie yang melepasi paras 3.95 meter sementara Justin McEwen di tempat ketiga dengan 3.50 meter.

Catatan Roslinda itu juga berada di bawah rekod peribadi terbaiknya 4.20 meter ketika memenangi pingat emas dan mencatat rekod baru Sukan SEA di Manila, Disember lalu.

Dalam acara lompat tinggi lelaki, Ahmad Najwan berjaya melepasi ketinggian 2.00 meter di belakang atlet dari Scotland, Taylor Mark yang memenangi acara itu dengan ketinggian 2.19 meter sementara Adam Martin dari Isle of Man melepasi ketinggian 2.05 meter.

``Saya gembira dengan prestasi atlet secara keseluruhan. Robani Hassan bagaimanapun hanya menyertai acara 100 meter kerana acaranya yang sebenar 110 meter tidak dipertandingkan kerana kurang penyertaan, kata pengurus pasukan olahraga negara, S.O Appan.

Noraseela Khalid juga tidak dapat bertanding dalam acara 400 meter lari berpagar wanita kerana kurang penyertaan.

``Saya tetap gembira, walaupun ada atlet yang tidak dapat bertanding kerana acara mereka dibatalkan. Pencapaian atlet ini menunjukkan bahawa mereka sudah bersedia untuk menghadapi temasya ini,'' kata Appan.

Kejohanan pemanas badan di Bendigo ini disertai oleh kalangan atlet dari lapan negara yang menyiapkan diri untuk menghadapi Sukan Komanwel yang bermula dengan rasminya Rabu ini.

Berdasarkan rekod olahraga, Malaysia pernah memenangi pingat emas pada Sukan Komanwel di Kuala Lumpur 1998, menerusi G. Saravan dalam acara 50km jalan kaki.

Empat tahun kemudiannya, olahraga menyumbang pingat gangsa di Manchester menerusi Yuan Yu Fang dalam acara jalan kaki wanita.

- Utusan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0314&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4koPinTRw
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan