Jumaat, 28 April 2017

Olahraga Terbuka Kebangsaan - Sin Mei cipta rekod kebangsaan

ARKIB : 10/09/2004
ATLET Kuala Lumpur, Ngew Sin Mei gembira sambil menunjukkan jarak lompatan yang dilakukan apabila berjaya mencipta rekod baru kebangsaan dan kejohanan acara lompat kijang pada Kejohanan Olahraga Terbuka Kebangsaan ke-81 di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam. - Gambar MOHD. NAIM FIRDAUS ABD. AZIZ.


ATLET Kuala Lumpur, Ngew Sin Mei menggegar lagi arena olahraga negara dengan mencipta serentak rekod baru kebangsaan dan kejohanan acara lompat kijang wanita pada hari pertama Kejohanan Olahraga Terbuka Kebangsaan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
Sin Mei melakukan lompatan sejauh 13.74 meter untuk memadamkan catatan rekod lama berusia hanya tiga bulan yang dipegangnya sendiri.
Ini merupakan kali kedua, Sin Mei memecahkan rekod kebangsaan dalam acara kegemarannya itu tahun ini.
Kali pertama ialah pada Sukan Malaysia (Sukma) 2004 yang berlangsung di Seremban, Negeri Sembilan, Jun lalu.
Ketika itu, Sin Mei melakukan lompatan sejauh 13.51 meter.
Kejayaan itu sedikit menceriakan suasana kejohanan tersebut yang suram kerana kurang mendapat sambutan daripada pasukan negeri.
Walaupun turut disertai tiga negara Asean iaitu Thailand, Myanmar dan Vietnam tetapi terdapat beberapa acara hanya disertai tiga atau empat peserta sahaja.
Bagaimanapun Sin Mei menyelamatkan keadaan apabila tampil dengan rekod kebangsaan untuk menewaskan atlet Vietnam, Nhat Thanh Bui Thi di tempat kedua dan Siti Zubaidah Adabi dari Johor, ketiga.
``Saya gembira kerana ini kali kedua berjaya memecahkan rekod kebangsaan tahun ini. Saya merasakan mampu melakukan lebih jauh lagi.
``Matlamat saya ketika ini ialah 14 meter. Cuma saya perlu menjalani latihan lebih kuat dan berharap dapat melakukannya di luar negara (Jerman) sama ada tahun ini atau tahun depan,'' katanya.
Sementara itu, seorang lagi atlet kebangsaan yang mewakili Kedah, Shahrul Amri Md. Suhaimi hanya kurang 0.35 meter untuk memecah rekod kebangsaan acara lompat jauh lelaki.
Shahrul melakukan lompatan sejauh 7.50 meter berbanding rekod kebangsaan yang dicipta Mohd. Zaki Sadri pada 1996 iaitu 7.85 meter.
Menurut Shahrul, apa yang mendorongnya memberikan persembahan memberansangkan ini kerana mendapat saingan sengit daripada atlet Vietnam, Quy Vu Van yang melakukan 7.07 meter untuk menduduki tempat kedua.
Acara merejam lembing pula dikuasai atlet Myanmar, Kyaw Swai Moe yang membuat lontaran sejauh 65.04 meter.
Swai Moe menewaskan atlet Thailand, Thirdsak Boonjansri di tempat kedua dan pemegang rekod kebangsaan, Mohd. Yazid Imran, ketiga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan