Sabtu, 22 April 2017

Olahraga, renang di kemuncak

ARKIB : 03/06/2004

ATLET Perak, Ngew Sin Meh berusaha melayangkan badannya di udara sebelum berjaya melakukan lompatan sejauh 13.51m untuk meraih pingat emas dan memecahkan rekod kebangsaan bagi acara lompat kijang wanita Sukma X, semalam.


ATLET olahraga dan renang menceriakan Sukma X apabila berjaya memecah tiga rekod kebangsaan semalam.
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pemenang pingat perak Sukan SEA 2003, Ngew Sin Meh mencatat rekod kebangsaan pertama olahraga selepas memungut pingat emas acara lompat kijang wanita
Harapan tinggi yang pada awalnya dianggap sebagai beban berat oleh Sin Meh akhirnya menjadi motivasi kepada atlet Kuala Lumpur itu untuk memecah rekod kebangsaan miliknya sendiri dengan lompatan 13.51 meter - 0.21m mengatasi catatan lama 13.30m yang dilakukan di Terbuka Jerman, tahun lalu.
Malah, empat daripada lima lompatan atlet berusia 21 tahun sebenarnya telah pun mengatasi rekod Sukma, 12.86m yang juga miliknya sendiri, dilakukan pada temasya di Sabah, dua tahun lalu.
Pingat perak acara tersebut menjadi milik atlet Sabah, Mary Nakaran yang jauh ditinggalkan Sin Mei dengan lompatan 12.02m, manakala Siti Zubaidah Adabi dari Johor yang disebut-sebut sebagai bakal pencabar utama hanya meraih gangsa dengan lompatan terbaiknya 11.93m.
Di Pusat Akuatik Paroi pula, perenang Perak, Cindy Ong membuktikan dia perenang jarak dekat terbaik untuk memecah satu lagi rekod kebangsaan dalam acara 50 meter kuak dada wanita selain meraih emas acara 200 meter gaya kupu-kupu.
Dia mencatat masa 34.86 saat bagi memadam rekod kebangsaan milik perenang Sabah, Leung Chii Lin 35.60s yang dicipta pada acara saringan semalam. .
Kelmarin, Cindy, 20, mencipta sejarah apabila meleburkan dua rekod kebangsaan termasuk rekod berusia 17 tahun yang dipegang oleh Nurul Huda Abdullah, 59.08s dalam acara 100m gaya bebas dengan kepantasan 58.17s.
Dia turut memperbaharui rekod kebangsaan dalam acara 50m gaya kupu-kupu dengan masa 28.58s, memadam rekod catatan lama 30.37s yang dicipta oleh perenang Sabah, Marellyn Liew tahun lalu.
Apa yang menakjubkan, pemenang pingat dan gangsa acara tersebut, Kathleen Duff dari Kuala Lumpur dan Leung Chii Lin sendiri turut memecah rekod kebangsaan acara tersebut apabila masing-masing mencatat masa 35.29s dan 35.57s.
Tidak puas dengan emas pertama semalam, Cindy sekali lagi menguak emas dalam acara 200m gaya kupu-kupu dengan masa 2:22.40s, sambil diekori Khoo Ai Hwee dari Sarawak yang mencatat masa 2:23.10s dan ketiga Lai Mei Juan dari Johor dengan masa 2:26.99s.
Acara renang hari ketiga semalam turut menyaksikan satu lagi rekod kebangsaan acara 4X100m gaya bebas wanita lebur apabila kuartet Sabah, Chua Lai Kwan, Leung Chii Lin, Marellyn Liew Yien dan Claudia Leow merekodkan kepantasan 4.01.69s.
Catatan itu memadamkan rekod kebangsaan dan juga rekod kejohanan iaitu 4:02.59s yang dicipta oleh kuartet Sarawak pada Sukma 2002 di Sabah.
Dua perenang turut memecah rekod kejohanan acara 800m gaya bebas wanita apabila pemenang acara itu , Ow Ying Jie dari Selangor dan pemenang kedua, Ong Ming Xiu dari Kuala Lumpur masing-masing mencatat kepantasan 9:06.72s dan 9:08.53s untuk mengatasi rekod perenang Kuala Lumpur, Sia Wai Yen yang dicatat pada Sukma 2002 di Sabah.
Sementara itu dalam tiga lagi acara final semalam berakhir tanpa sebarang rekod baru selain menyaksikan perenang kebangsaan dari Sarawak, Daniel Bego tewas di tangan perenang Pulau Pinang, Saw Yi Khy dalam acara 200m gaya kupu-kupu.
Yi Khy mencatat masa 2:08.02s untuk pingat emas manakala Daniel Bego sekadar mencatat 2:08.38s dan pingat gangsa milik Jeremy Er dari Sabah.
Sementara itu, David Lim membantu Selangor memungut emas kelima dalam acara renang apabila memenangi acara 50m gaya dada dengan masa 30.99s manakala pingat perak dikongsi oleh Mohd Faisul Sulaiman dari Sarawak dan Oii Tze Yang dari Pulau Pinang apabila mereka mencatat masa yang sama iaitu 32.02s.
Sabah turut memungut emas dalam acara 4X100m gaya bebas lelaki dengan masa 3:43.16s, pingat perak diraih kuartet Sarawak (3:43.82s) dan pingat gangsa milik Pulau Pinang (3:44.12s).
Sehingga semalam, Selangor mengungguli acara renang Sukma X dengan lima emas, empat perak dan tiga gangsa tetapi diekori rapat oleh Sarawak yang mengumpul empat emas, tujuh perak dan dua gangsa manakala Perak turut memberi saingan apabila meraih empat emas dan satu gangsa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan