Ahad, 26 November 2017

Rayzamsyah catat rekod Sukma

ARKIB : 08/06/2008
KUALA TERENGGANU - Atlet Sabah, Rayzamsyah Wan Sofian memperbaharui rekod 110 meter lari berpagar Sukan Malaysia (Sukma) dengan masa 14.10 saat di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, semalam.

Atlet kebangsaan yang juga pemenang pingat emas dan pemegang rekod Sukan SEA acara tersebut, tidak dicabar untuk mengatasi rekod Sukma Mohd. Faiz Muhammad, 14.24s yang dicipta pada Sukma 2004 di Negeri Sembilan.

Ia merupakan pingat emas kedua Rayzamshah pada Sukma kali ini selepas meraih emas pertama dalam acara 4x100m lelaki, semalam.

Rayzamsyah yang memiliki catatan terbaik 13.93s yang diciptanya di Sukan SEA Korat, berkata, walaupun memperbaharui rekod Sukma, dia kecewa kerana gagal mengatasi masa kelayakan kategori B Olimpik iaitu 13.72s.

Jelasnya, dia kurang berpuas hati ketika memulakan pecut kerana gangguan akibat pembatalan permulaan, juga cuaca yang terlalu panas.

''Saya ke sini dengan matlamat untuk melepasi masa kelayakan ke Olimpik namun gagal disebabkan beberapa faktor antaranya kurang mendapat saingan.

''Tetapi kejayaan melebur rekod kejohanan ini sedikit sebanyak memberi semangat untuk saya mencatat masa yang lebih baik untuk layak ke Olimpik pada Kejohanan Grand Prix Asia di Thailand dan Vietnam tidak lama lagi," katanya.

Pingat perak acara itu dimenangi Mohd. Muslin Sidek dari Terengganu (14.79s) manakala gangsa milik pelari Johor, Mohamad Rohaizad Jamil (14.91s).

Sebelum itu, tuan rumah terus menuai emas dalam acara olahraga menerusi Azizah Ibrahim yang menjuarai acara 100m lari berpagar dengan masa 14.47s, diikuti pelari Selangor, Raja Nursheena Raja Azhar (14.52s) dan ketiga, Khoo Woan Chern dari Johor (14.64s).
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0608&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zaE0s6Kw

© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 15 Oktober 2017

Tana mahu terus pecut



Mohd Khairie Khalid
khairie@bh.com.my
FINALIS Miss Universe Malaysia 2017, M Tanalaksiumy mengakui dia tidak akan berhenti di separuh jalan daripada menjadi atlet meskipun turut bergiat dalam dunia seni.

Malah peserta ratu cantik dari Pulau Pinang yang berusia 23 tahun itu menegaskan dia akan terus bersukan sehingga ke tahap tertinggi.

Tanalaksiumy yang lebih mesra dengan panggilan Tana juga berazam memastikan dirinya tersenarai dalam acara lari berganti-ganti pada dua temasya berprestij tahun depan - Sukan Komanwel, Australia dan Sukan Asia, Indonesia.

Tana bersama tiga lagi rakan iaitu Fatin Faqihah Mohd Yusof, Nurul Faizah Asma Mazlan dan Shereen Samson Vallabouy adalah pemenang gangsa acara 4x400 meter pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos lalu.
ADVERTISING

“Selepas KL2017 (penampilan pertama) saya kembali untuk fokus dalam pelajaran, menjayakan sesi penggambaran serta menyertai lebih banyak aktiviti sosial bersama masyarakat.”

“Saya tidak akan berhenti daripada menjadi atlet kerana sudah menyertai olahraga sejak berusia 10 tahun. Saya akan teruskan apa yang saya ceburi termasuklah sukan dan pembelajaran di HELP University.”

“Saya akan cuba menyertai acara lari berganti-ganti di Sukan Komanwel dan Asia kerana agak sukar untuk sertai acara individu. Apapun matlamat saya untuk mara setinggi yang mampu dalam bidang sukan,” katanya yang berhasrat mencuba sukan golf selepas ini.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 10:37 PM

Sabtu, 23 September 2017

Nazmizan raih perak 100m



ARKIB : 27/04/2007

KUALA LUMPUR – Bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhamad mengorak semula langkah meyakinkan sejak kembali ke balapan persaingan apabila memenangi pingat perak 100 meter Olahraga Terbuka Vietnam, kelmarin.

Pelari kelahiran Dungun, Terengganu itu mencatatkan 10.71 saat untuk menduduki tempat kedua di belakang pelari tuan rumah.

Pingat perak ini merupakan kejayaan pertama Nazmizan, juara berganda Sukan SEA Vietnam 2003 selepas kembali dari tempoh rehat yang panjang akibat masalah kecederaan yang membelenggunya sejak dua tahun lalu.

“Larian saya agak perlahan mungkin kerana sudah lama berlari dalam pertandingan sebenar antarabangsa. Berat badan yang bertambah (kini 81 kilogram) turut menjejaskan persembahan,” katanya.

Hari ini Nazmizan memburu satu lagi kejayaan dan kemungkinan pingat emas apabila mara ke pusingan akhir 200m, biarpun telah lama tidak menjalani latihan giat bagi acara itu.

“Saya tetap akan cuba berlari habis-habisan bagi 200m biarpun tanpa meletakkan sasaran pingat atau catatan masa tertentu,” katanya dari Vietnam kepada Utusan Malaysia, semalam.

Nazmizan turut meraih sebutir gangsa, semalam dalam 4x100m ketika bergandingan dengan Sharafi Sauli, Mohd. Nor Imran Hadi dan Zabidi - ketiga di belakang rangkaian China dan Vietnam.

Malaysia turut meraih emas 110m berpagar menerusi Rahizam Shah (14.59s), lontar peluru (Adi Alifuddin Hussin, 16.09m) dan lempar cakera wanita (Yap Chan Zam).

Tiga lagi perak turut disumbangkan Faiz Muhamad dalam 110m berpagar - 14.70s, Syahrul Amri Suhaimi (7.40m lompat jauh) dan Siti Fatimah Mohamad (100m wanita)

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0427&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4tYRqqD74
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 22 Ogos 2017

Speedy Jantan ke final



Devinder Singh
sukan@nst.com.my
 
PELARI pecut negara Khairul Hafiz Jantan mara ke final 100 meter Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 apabila mencatatkan masa terpantas pada saingan separuh akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Dia mencatatkan masa 10.34 saat (s) untuk memenangi Saringan 2 manakala juara bertahan Eric Cray dari Filipina mengungguli Saringan 1 dengan catatan 10.58s.

Seorang lagi pelari negara Jonathan Nyepa turut mara ke final selepas menduduki tempat ketiga dalam Saringan 1 dengan catatan 10.65s.

Dua atlit negara Zaidatul Husniah Zulkifli dan Siti Fatima Mohamad pula layak ke final 100 meter wanita.

Husniah mencatatkan masa 11.61s manakala Fatima 11.80s.

Final acara 100 meter lelaki dan wanita akan diadakan jam 9.40 malam ini.

sumberArtikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2017 @ 4:27 PM

Jumaat, 23 Jun 2017

Permulaan memberangsangkan daripada Siew Wei



ARKIB : 14/03/2006
Ads by Kiosked
Permulaan memberangsangkan daripada Siew Wei
Daripada Khalid Saad
JAGUH 100 meter lari berpagar negara, Moh Siew Wei beraksi pada satu kejohanan tempatan Disember tahun lalu. Siew Wei melakukan kejutan apabila memenangi acara itu pada kejohanan pemanas badan di Bendigo, Australia menjelang Sukan Komanwel XVIII Melbourne, Rabu ini.


MELBOURNE - Skuad olahraga negara mencipta kejayaan membanggakan menjelang Sukan Komanwel yang bermula dengan rasminya Rabu ini dengan atlet 100 meter lari berpagar wanita, Moh Siew Wei memenangi acara itu pada satu kejohanan pemanas badan di sini, semalam.

Pemenang pingat emas Sukan SEA Manila itu mencatatkan masa 13.50 saat untuk memenangi kejohanan pra-Melbourne yang berlangsung di Bendigo (luar Melbourne).

Bagaimanapun, masa yang dicatatkannya itu berada di bawah catatan peribadi terbaiknya 13.39 saat ketika memenangi pingat emas di Manila, Disember lalu.

Siew Wei menewaskan atlet dari England, Julie Holeman dan Joy Dicna dari Nigeria, yang masing-masing mencatat masa 13.81s dan 14.01s.

Selain Siew Wei, kejohanan ini turut disertai oleh dua lagi atlet negara yang akan beraksi dalam Sukan Komanwel.

Jaguh lompat bergalah wanita, Roslinda Samsu, memenangi tempat kedua dengan catatan 3.80 meter dibelakang atlet dari Australia, Hill Irie yang melepasi paras 3.95 meter sementara Justin McEwen di tempat ketiga dengan 3.50 meter.

Catatan Roslinda itu juga berada di bawah rekod peribadi terbaiknya 4.20 meter ketika memenangi pingat emas dan mencatat rekod baru Sukan SEA di Manila, Disember lalu.

Dalam acara lompat tinggi lelaki, Ahmad Najwan berjaya melepasi ketinggian 2.00 meter di belakang atlet dari Scotland, Taylor Mark yang memenangi acara itu dengan ketinggian 2.19 meter sementara Adam Martin dari Isle of Man melepasi ketinggian 2.05 meter.

``Saya gembira dengan prestasi atlet secara keseluruhan. Robani Hassan bagaimanapun hanya menyertai acara 100 meter kerana acaranya yang sebenar 110 meter tidak dipertandingkan kerana kurang penyertaan, kata pengurus pasukan olahraga negara, S.O Appan.

Noraseela Khalid juga tidak dapat bertanding dalam acara 400 meter lari berpagar wanita kerana kurang penyertaan.

``Saya tetap gembira, walaupun ada atlet yang tidak dapat bertanding kerana acara mereka dibatalkan. Pencapaian atlet ini menunjukkan bahawa mereka sudah bersedia untuk menghadapi temasya ini,'' kata Appan.

Kejohanan pemanas badan di Bendigo ini disertai oleh kalangan atlet dari lapan negara yang menyiapkan diri untuk menghadapi Sukan Komanwel yang bermula dengan rasminya Rabu ini.

Berdasarkan rekod olahraga, Malaysia pernah memenangi pingat emas pada Sukan Komanwel di Kuala Lumpur 1998, menerusi G. Saravan dalam acara 50km jalan kaki.

Empat tahun kemudiannya, olahraga menyumbang pingat gangsa di Manchester menerusi Yuan Yu Fang dalam acara jalan kaki wanita.

- Utusan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0314&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4koPinTRw
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 28 April 2017

Olahraga Terbuka Kebangsaan - Sin Mei cipta rekod kebangsaan

ARKIB : 10/09/2004
ATLET Kuala Lumpur, Ngew Sin Mei gembira sambil menunjukkan jarak lompatan yang dilakukan apabila berjaya mencipta rekod baru kebangsaan dan kejohanan acara lompat kijang pada Kejohanan Olahraga Terbuka Kebangsaan ke-81 di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam. - Gambar MOHD. NAIM FIRDAUS ABD. AZIZ.


ATLET Kuala Lumpur, Ngew Sin Mei menggegar lagi arena olahraga negara dengan mencipta serentak rekod baru kebangsaan dan kejohanan acara lompat kijang wanita pada hari pertama Kejohanan Olahraga Terbuka Kebangsaan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
Sin Mei melakukan lompatan sejauh 13.74 meter untuk memadamkan catatan rekod lama berusia hanya tiga bulan yang dipegangnya sendiri.
Ini merupakan kali kedua, Sin Mei memecahkan rekod kebangsaan dalam acara kegemarannya itu tahun ini.
Kali pertama ialah pada Sukan Malaysia (Sukma) 2004 yang berlangsung di Seremban, Negeri Sembilan, Jun lalu.
Ketika itu, Sin Mei melakukan lompatan sejauh 13.51 meter.
Kejayaan itu sedikit menceriakan suasana kejohanan tersebut yang suram kerana kurang mendapat sambutan daripada pasukan negeri.
Walaupun turut disertai tiga negara Asean iaitu Thailand, Myanmar dan Vietnam tetapi terdapat beberapa acara hanya disertai tiga atau empat peserta sahaja.
Bagaimanapun Sin Mei menyelamatkan keadaan apabila tampil dengan rekod kebangsaan untuk menewaskan atlet Vietnam, Nhat Thanh Bui Thi di tempat kedua dan Siti Zubaidah Adabi dari Johor, ketiga.
``Saya gembira kerana ini kali kedua berjaya memecahkan rekod kebangsaan tahun ini. Saya merasakan mampu melakukan lebih jauh lagi.
``Matlamat saya ketika ini ialah 14 meter. Cuma saya perlu menjalani latihan lebih kuat dan berharap dapat melakukannya di luar negara (Jerman) sama ada tahun ini atau tahun depan,'' katanya.
Sementara itu, seorang lagi atlet kebangsaan yang mewakili Kedah, Shahrul Amri Md. Suhaimi hanya kurang 0.35 meter untuk memecah rekod kebangsaan acara lompat jauh lelaki.
Shahrul melakukan lompatan sejauh 7.50 meter berbanding rekod kebangsaan yang dicipta Mohd. Zaki Sadri pada 1996 iaitu 7.85 meter.
Menurut Shahrul, apa yang mendorongnya memberikan persembahan memberansangkan ini kerana mendapat saingan sengit daripada atlet Vietnam, Quy Vu Van yang melakukan 7.07 meter untuk menduduki tempat kedua.
Acara merejam lembing pula dikuasai atlet Myanmar, Kyaw Swai Moe yang membuat lontaran sejauh 65.04 meter.
Swai Moe menewaskan atlet Thailand, Thirdsak Boonjansri di tempat kedua dan pemegang rekod kebangsaan, Mohd. Yazid Imran, ketiga.

Ahad, 23 April 2017

Fauziah lakar sejarah remaja

ARKIB : 14/06/2004
PELARI pecut, Fauziah Abdul Razak mengakhiri penantian Malaysia selama 20 tahun apabila meraih pingat emas yang pertama dalam Kejohanan Olahraga Remaja Asia ke-11 di Stadium Perak, Ipoh semalam.
Pelari dari Perak itu mempamerkan larian yang mantap di lorong ketiga untuk mengenepikan cabaran pelari dari China, Libei Li dan Gretta Taslakian dari Lebanon di sebelah kanan dan kirinya.
Fauziah, 16, mengerah seluruh tenaganya kira-kira 50m dari garisan penamat walaupun menghadapi tentangan hebat daripada Libei Li dan Gretta yang bekerja keras bagi menidakkan harapan Malaysia meraih pingat emas yang pertamanya dengan catatan masa 24.49s.
Namun begitu masa yang dicatat oleh Fauziah di Ipoh masih gagal menyamai masa terbaik 24.30s yang pernah dilakukannya di Kejohanan Olahraga Sekolah-sekolah Asia di Jakarta tahun lalu.
Taslakian meraih pingat perak dengan catatan masa 24.65s dan seorang lagi pelumba dari China, Yujia Tao merangkul pingat gangsa dengan catatan masa 24.75s dan Libei Li di tangga keempat.
Seorang lagi pelumba negara, Siti Fatimah Mohamad berada di tangga kelima dengan catatan masa 25.03s.
Kontinjen negara tidak pernah memenangi pingat emas dalam kejohanan ini yang diperkenalkan pada tahun 1984 lalu.
Pada kejohanan kali terakhir, Malaysia sekadar membawa pulang dua pingat perak menerusi Muhd. Faiz Mohamed dalam acara 110 meter lari berpagar lelaki dan Jasmaniah Osman bagi lompat bergalah wanita.
Fauziah berkata, dia amat berpuas hati dengan pencapaian yang dilakukannya di Stadium Perak walaupun tidak menjangka dapat menumpaskan pelari dari China, Lebanon dan Taiwan.
Sebelum ini, Fauziah disenaraikan akan menyertai acara 200m, 400m dan 4x400m tetapi jurulatihnya, Audina Valeri dari Rusia memintanya mengugurkan acara 400m bagi menumpukan perhatian kepada acara 200m dan 4x100m.
``Saya tidak kesal dengan tindakan Audina kerana jurulatih tersebut tahu mengenai pencapaian saya dan tindakan itu saya anggap tepat,'' kata Fauziah, penuntut di Sekolah Menengah Gunung Rapat, Ipoh.
Walaupun berjaya meraih pingat emas dalam acara 200m ini tetapi Fauziah hanya akan menumpukan perhatian acara 400m sahaja dalam Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Itali pada bulan Julai akan datang.
Sementara itu, `remaja besi' Malaysia, Sazari Sahar menyumbang pingat gangsa dalam acara dekatlon dengan mengumpul 6,584 daripada 10 acara yang dilaluinya.
Pingat emas acara ini dimenangi oleh atlet China, Yu Bin dengan jumlah mata sebanyak 7,713 dan atlet Kuwait, Meshari Zaki Mubarek yang mengumpul 6,671 mata meraih pingat gangsa.
Sementara itu Qatar menambah pingat emas kedua apabila atletnya, Mousa Amr Obaid mempamerkan larian yang bergaya untuk menjuarai acara 3,000m berhalangan dan sekaligus memperbaharui rekod lama dengan catatan 8:33.39s.
Rekod lama dipegang oleh rakan senegarnya, Abubaker Ali Kamal yang mencatat masa 8:51.75s ketika kejohanan di Bangkok dua tahun lalu.
Seorang lagi pelumba Qatar, Moustafa Ahmed A. Shebto meraih pingat perak dengan catatan masa 8:39.66s dan pelumba dari Arab Saudi, Ali Al-Amri merangkul pingat gangsa dengan masa 9:04.39s.
Pada awal pagi, pejalan kaki Jepun, Fumi Mitsumura mempamerkan keunggulan dengan memperbaharui rekod 10,000m jalan kaki dengan catatan 46:58.96s, memadam rekod lama yang dipegang oleh rakan senegaranya, Sachiko Konishi yang mencatat 48:12.05s, dilakukan di Brunei pada tahun 2001.
Pejalan kaki dari China, Kun Jiang mengutip pingat perak dengan catatan masa 47:57.30s diikuti oleh seorang lagi peserta Jepun, Sumiko Suzuki yang mencatat masa 49:18.10s bagi meraih gangsa.