ARKIB : 27/04/2007
KUALA LUMPUR Bekas raja pecut
Asia Tenggara, Nazmizan Muhamad mengorak semula langkah meyakinkan sejak
kembali ke balapan persaingan apabila memenangi pingat perak 100 meter Olahraga
Terbuka Vietnam, kelmarin.
Pelari kelahiran Dungun,
Terengganu itu mencatatkan 10.71 saat untuk menduduki tempat kedua di belakang
pelari tuan rumah.
Pingat perak ini merupakan
kejayaan pertama Nazmizan, juara berganda Sukan SEA Vietnam 2003 selepas
kembali dari tempoh rehat yang panjang akibat masalah kecederaan yang
membelenggunya sejak dua tahun lalu.
Larian saya agak perlahan
mungkin kerana sudah lama berlari dalam pertandingan sebenar antarabangsa.
Berat badan yang bertambah (kini 81 kilogram) turut menjejaskan persembahan,
katanya.
Hari ini Nazmizan memburu satu
lagi kejayaan dan kemungkinan pingat emas apabila mara ke pusingan akhir 200m,
biarpun telah lama tidak menjalani latihan giat bagi acara itu.
Saya tetap akan cuba berlari
habis-habisan bagi 200m biarpun tanpa meletakkan sasaran pingat atau catatan
masa tertentu, katanya dari Vietnam kepada Utusan Malaysia, semalam.
Nazmizan turut meraih sebutir
gangsa, semalam dalam 4x100m ketika bergandingan dengan Sharafi Sauli, Mohd.
Nor Imran Hadi dan Zabidi - ketiga di belakang rangkaian China dan Vietnam.
Malaysia turut meraih emas 110m
berpagar menerusi Rahizam Shah (14.59s), lontar peluru (Adi Alifuddin Hussin,
16.09m) dan lempar cakera wanita (Yap Chan Zam).
Tiga lagi perak turut
disumbangkan Faiz Muhamad dalam 110m berpagar - 14.70s, Syahrul Amri Suhaimi
(7.40m lompat jauh) dan Siti Fatimah Mohamad (100m wanita)
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0427&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4tYRqqD74
© Utusan Melayu (M) Bhd