Sabtu, 10 September 2016

Nor Azura berazam catatan masa 12s


 

ARKIB : 03/06/1998
Nor Azura berazam catatan masa 12s
NIK NOR AZURA NIK MAHMOOD.

RATU pecut sedang meningkat, Nik Nor Azura Nik Mahmood berazam mengharumkan nama Malaysia pada Kejohanan Olahraga Remaja Olimpik di Moscow pada 9-24 Julai ini.

''Saya akan membuktikan kemapuan atlet Malaysia bersaing di peringkat antarabangsa,'' kata Nik Nor Azura yang berasal dari Taman Desa Putera di Kuala Terengganu dalam satu pertemuan dengan Bernama semalam.

Nik Nor Azura, 17, yang turut terpilih menyertai kejohanan di Moscow itu, mengejutkan peminat olahraga apabila mencipta rekod baru 100m Sukan Malaysia (Sukma) dengan catatan 12.15s (rekod lama 12.23s) di Shah Alam April lepas.

Beliau berjanji akan cuba memperbaiki catatan masa kepada 12 saat di Moscow. Jurulatihnya Eldurin Ozolin yakin atlet ini mampu mencatat dibawah paras itu.

Azura berkata kejohanan Olimpik remaja itu merupakan penyertaannya yang kedua peringkat antarabangsa tahun ini selepas Kejohanan Sekolah-Sekolah ASEAN di Filipina akhir bulan lepas.

Pada kejohanan di Manila itu, Azura berjaya memungut pingat emas 100m dan 200m dan pingat perak 400x100m.

Penuntut tingkatan lima Sekolah Menengah Sultan Abdul Aziz Shah, Kajang, Selangor ini berkata beliau akan mengambil bahagian dalam acara kegemarannya 100m, 200m dan 4x100m di Moscow nanti.

Beberapa atlet remaja lain juga terpilih mewakili negara pada kejohanan itu.

Azura berkata kejohanan di Moscow akan memberi banyak pengalaman kepadanya dalam memenuhi cita-cita menjadi ratu pecut negara.

Beliau yang mendapat galakan daripada keluarga pernah mewakili Malaysia pada kejohanan antarabangsa peringkat umur 15 tahun di Australia.

Katanya kejohanan itu banyak memberi bimbingan dan pengajaran serta mendorong beliau memperbaiki larian.

Bagaimanapun bintangnya mula menyerlah pada Sukma tahun ini apabila mengejutkan peminat olahraga dengan memenangi pingat emas 100m dengan rekod baru.

''Saya banyak berterima kasih kepada jurulatih Rusia, Ozolin. Dia banyak membantu memperbaiki larian saya,'' kata Azura yang mempunyai empat adik yang juga meminati sukan olahraga. _ Bernama.




SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0603&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4Js6rq4Vp © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan