Sabtu, 8 April 2017

Nazmizan raja trek



ARKIB : 11/12/2003

HANOI - Raja pecut baru Asia Tenggara, Nazmizan Mohamad mengakui bahawa ada pihak yang memandangnya dengan sinis apabila dia menyuarakan keyakinannya untuk merangkul pingat emas 100 dan 200 meter pada Sukan SEA XXII di Vietnam.

Malah katanya, banyak pihak yang mentertawakannya apabila dia menyuarakan hasrat tersebut, situasi yang mungkin mematahkan semangat pelari lain tetapi tidak kepada atlet kelahiran Dungun, Terengganu itu.

``Hanya seorang sahaja yang percaya apabila saya kata saya hendak menang 100 dan 200 meter di Vietnam iaitu J.V Jayan (ketua jurulatih Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia).

``Hari ini saya boleh tersenyum, jurulatih saya (Alex Sasha) juga boleh tersenyum, malah seluruh rakyat Malaysia boleh tersenyum kerana berjaya menamatkan penguasaan Thailand, apa lagi yang dapat dikatakan? saya puas, sepuasnya.''

Bagaimanapun, katanya, untuk muncul juara adalah lebih mudah daripada hendak mempertahankannya dan berhasrat untuk mengulangi pencapaian tersebut di Sukan SEA Manila, 2005.

Sementara itu, Noraseela yang memikul tugas berat untuk membuktikan perguruannya di Jerman tidak sia-sia selepas dua rakan sepelatih lain, Moh Siew Wei (100m lari berpagar wanita) dan Mohd. Zaiful Zainal Abidin (400m) hanyut dalam acara masing-masing.

Noraseela, 23, merampas semula pingat emas yang dimenanginya pada Sukan SEA 1999 di Brunei dengan kepantasan 57.62s, mengalahkan musuh tradisi dan penyandang juara, Wassana Winatho dari Thailand yang mencatat 57.78s.

``Selepas pingat emas saya dirampas di gelanggang sendiri dua tahun lalu, saya nekad untuk mendapatkannya,'' kata Noraseela, pemegang rekod kebangsaan dengan 57.00s yang dilakukan di Jerman, Ogos lalu.

Sebutir lagi pingat emas Malaysia adalah emas pertama olahraga pada hari keempat yang disumbangkan bintang muda, Shahrulhaizy menerusi acara 20 kilometer jalan kaki lelaki, sekali gus mengekalkan penguasaan negara acara tersebut sejak Khoo Cho Beng memenanginya pada Sukan SEA 1993 di Singapura.

Peserta baling tukul besi negara, Siti Shahidah Abdullah pula harus menyalahkan diri sendiri atas kegagalannya meraih pingat emas selepas empat percubaannya dibatalkan dan hanya bernasib baik melakukan 47.27m pada balingan pertama, jauh daripada rekod kebangsaan 49.84m.

Yurita Ariyani Arsyad dari Indonesia membawa pulang pingat emas dengan 49.79m yang dilakukan dalam percubaan ketiga, manakala Kruawan Taweedech dari Thailand membawa pulang gangsa dengan 47.35m.

Sukan SEA XXII menyaksikan jaguh lompat bergalah, Teh Weng Chang gagal menyerlah dalam penampilan semulanya selepas hampir setahun berehat akibat kecederaan apabila tidak berjaya mempertahankan pingat emas.

Selepas menyumbangkan gangsa dalam lompat kijang wanita, Ngew Sin Mei gagal dalam percubaannya meraih pingat lompat jauh apabila sekadar menduduki tangga ketiga, manakala atlet muda negara, Fauziah Abdul Razak tidak menamatkan larian 200m akibat kecederaan.

Hari ini Malaysia berada di landasan terbaik untuk menambah tiga lagi pingat emas menerusi ratu jalan kaki, Yuan Yufang, diikuti badang negara, Malik Tobias yang sedang mendahului acara dekatlon. Jika segalanya berjalan lancar, atlet muda negara, Mohd. Hazuan Zainal Abidin juga berkedudukan baik untuk memberi emas daripada lompat jauh lelaki. - Utusan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1211&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dihNTYFw
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan