Selasa, 21 Mac 2017

``Selamat tinggal dunia olahraga'' - Nur Herman



ARKIB : 27/03/2002
KETIKA Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) kini hilang kuasa pengurusan berikutan penggantungan oleh Pesuruhjaya Sukan 28 Februari lalu, mereka dijangka kehilangan seorang atlet berpengalaman tidak lama lagi.

Atlet lari berpagar 110 meter, Nur Herman Majid, 32, dijangka mengumumkan persaraannya secara rasmi, Jumaat ini.

Bagi kalangan pegawai yang terlibat dalam sukan olahraga, ia mungkin satu berita lama kerana Nur Herman sebelum ini memang berhasrat untuk menggantung kasutnya dalam tempoh terdekat ini.

Malah November tahun lalu, Nur Herman sendiri sudah membayangkan kemungkinan terpaksa melupakan hasratnya beraksi buat kali terakhir pada Sukan Asia di Busan, Korea 29 September hingga 14 Oktober depan.

Dan tindakan itu terpaksa diambil sekiranya dia gagal mendapatkan penaja untuk membiayai latihannya.

Nur Herman ketika itu berkata, dia memerlukan perbelanjaan tambahan RM1,000 hingga RM1,500 sebulan bagi membiayai kos latihan yang akan dijalankan.

Persaraan Nur Herman pastinya satu kehilangan besar dalam sukan olahraga negara kerana dia merupakan penyumbang pingat emas dalam enam Sukan SEA berturut-turut - satu pencapaian yang sukar untuk dicapai oleh mana-mana atlet negara.

Malah dalam usia melebihi 30 tahun, atlet itu masih menyumbang satu daripada lapan pingat emas yang diperoleh menerusi acara itu dengan memperbaharui rekod temasya 14.02 saat. Rekod lama temasya itu ialah 14.09 saat yang dilakukan pada Sukan SEA Jakarta 1997.

Catatan itu bagaimanapun gagal memperbaharui rekod kebangsaan yang juga miliknya, 13.73 saat, catatan yang dilakukan sewaktu Sukan Asia 1994 di Hiroshima.

Mengenai rancangan sesudah bersara, Nur Herman berkata, dia merancang untuk mengadakan klinik seluruh negara untuk meningkatkan minat remaja melibatkan diri dalam sukan olahraga dengan menceritakan pengalamannya selama ini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0327&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4byPz8IK5© Utusan Melayu (M) Bhd