Sabtu, 23 September 2017

Nazmizan raih perak 100m



ARKIB : 27/04/2007

KUALA LUMPUR – Bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhamad mengorak semula langkah meyakinkan sejak kembali ke balapan persaingan apabila memenangi pingat perak 100 meter Olahraga Terbuka Vietnam, kelmarin.

Pelari kelahiran Dungun, Terengganu itu mencatatkan 10.71 saat untuk menduduki tempat kedua di belakang pelari tuan rumah.

Pingat perak ini merupakan kejayaan pertama Nazmizan, juara berganda Sukan SEA Vietnam 2003 selepas kembali dari tempoh rehat yang panjang akibat masalah kecederaan yang membelenggunya sejak dua tahun lalu.

“Larian saya agak perlahan mungkin kerana sudah lama berlari dalam pertandingan sebenar antarabangsa. Berat badan yang bertambah (kini 81 kilogram) turut menjejaskan persembahan,” katanya.

Hari ini Nazmizan memburu satu lagi kejayaan dan kemungkinan pingat emas apabila mara ke pusingan akhir 200m, biarpun telah lama tidak menjalani latihan giat bagi acara itu.

“Saya tetap akan cuba berlari habis-habisan bagi 200m biarpun tanpa meletakkan sasaran pingat atau catatan masa tertentu,” katanya dari Vietnam kepada Utusan Malaysia, semalam.

Nazmizan turut meraih sebutir gangsa, semalam dalam 4x100m ketika bergandingan dengan Sharafi Sauli, Mohd. Nor Imran Hadi dan Zabidi - ketiga di belakang rangkaian China dan Vietnam.

Malaysia turut meraih emas 110m berpagar menerusi Rahizam Shah (14.59s), lontar peluru (Adi Alifuddin Hussin, 16.09m) dan lempar cakera wanita (Yap Chan Zam).

Tiga lagi perak turut disumbangkan Faiz Muhamad dalam 110m berpagar - 14.70s, Syahrul Amri Suhaimi (7.40m lompat jauh) dan Siti Fatimah Mohamad (100m wanita)

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0427&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4tYRqqD74
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan