Ahad, 23 April 2017

Fauziah lakar sejarah remaja

ARKIB : 14/06/2004
PELARI pecut, Fauziah Abdul Razak mengakhiri penantian Malaysia selama 20 tahun apabila meraih pingat emas yang pertama dalam Kejohanan Olahraga Remaja Asia ke-11 di Stadium Perak, Ipoh semalam.
Pelari dari Perak itu mempamerkan larian yang mantap di lorong ketiga untuk mengenepikan cabaran pelari dari China, Libei Li dan Gretta Taslakian dari Lebanon di sebelah kanan dan kirinya.
Fauziah, 16, mengerah seluruh tenaganya kira-kira 50m dari garisan penamat walaupun menghadapi tentangan hebat daripada Libei Li dan Gretta yang bekerja keras bagi menidakkan harapan Malaysia meraih pingat emas yang pertamanya dengan catatan masa 24.49s.
Namun begitu masa yang dicatat oleh Fauziah di Ipoh masih gagal menyamai masa terbaik 24.30s yang pernah dilakukannya di Kejohanan Olahraga Sekolah-sekolah Asia di Jakarta tahun lalu.
Taslakian meraih pingat perak dengan catatan masa 24.65s dan seorang lagi pelumba dari China, Yujia Tao merangkul pingat gangsa dengan catatan masa 24.75s dan Libei Li di tangga keempat.
Seorang lagi pelumba negara, Siti Fatimah Mohamad berada di tangga kelima dengan catatan masa 25.03s.
Kontinjen negara tidak pernah memenangi pingat emas dalam kejohanan ini yang diperkenalkan pada tahun 1984 lalu.
Pada kejohanan kali terakhir, Malaysia sekadar membawa pulang dua pingat perak menerusi Muhd. Faiz Mohamed dalam acara 110 meter lari berpagar lelaki dan Jasmaniah Osman bagi lompat bergalah wanita.
Fauziah berkata, dia amat berpuas hati dengan pencapaian yang dilakukannya di Stadium Perak walaupun tidak menjangka dapat menumpaskan pelari dari China, Lebanon dan Taiwan.
Sebelum ini, Fauziah disenaraikan akan menyertai acara 200m, 400m dan 4x400m tetapi jurulatihnya, Audina Valeri dari Rusia memintanya mengugurkan acara 400m bagi menumpukan perhatian kepada acara 200m dan 4x100m.
``Saya tidak kesal dengan tindakan Audina kerana jurulatih tersebut tahu mengenai pencapaian saya dan tindakan itu saya anggap tepat,'' kata Fauziah, penuntut di Sekolah Menengah Gunung Rapat, Ipoh.
Walaupun berjaya meraih pingat emas dalam acara 200m ini tetapi Fauziah hanya akan menumpukan perhatian acara 400m sahaja dalam Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Itali pada bulan Julai akan datang.
Sementara itu, `remaja besi' Malaysia, Sazari Sahar menyumbang pingat gangsa dalam acara dekatlon dengan mengumpul 6,584 daripada 10 acara yang dilaluinya.
Pingat emas acara ini dimenangi oleh atlet China, Yu Bin dengan jumlah mata sebanyak 7,713 dan atlet Kuwait, Meshari Zaki Mubarek yang mengumpul 6,671 mata meraih pingat gangsa.
Sementara itu Qatar menambah pingat emas kedua apabila atletnya, Mousa Amr Obaid mempamerkan larian yang bergaya untuk menjuarai acara 3,000m berhalangan dan sekaligus memperbaharui rekod lama dengan catatan 8:33.39s.
Rekod lama dipegang oleh rakan senegarnya, Abubaker Ali Kamal yang mencatat masa 8:51.75s ketika kejohanan di Bangkok dua tahun lalu.
Seorang lagi pelumba Qatar, Moustafa Ahmed A. Shebto meraih pingat perak dengan catatan masa 8:39.66s dan pelumba dari Arab Saudi, Ali Al-Amri merangkul pingat gangsa dengan masa 9:04.39s.
Pada awal pagi, pejalan kaki Jepun, Fumi Mitsumura mempamerkan keunggulan dengan memperbaharui rekod 10,000m jalan kaki dengan catatan 46:58.96s, memadam rekod lama yang dipegang oleh rakan senegaranya, Sachiko Konishi yang mencatat 48:12.05s, dilakukan di Brunei pada tahun 2001.
Pejalan kaki dari China, Kun Jiang mengutip pingat perak dengan catatan masa 47:57.30s diikuti oleh seorang lagi peserta Jepun, Sumiko Suzuki yang mencatat masa 49:18.10s bagi meraih gangsa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan