Sabtu, 8 April 2017

Penantian 36 tahun emas 100m berakhir



ARKIB : 08/12/2003

Daripada: NORZIE MOHD. KHASBI

HANOI 7 Dis. - Nazmizan Mohamed menamatkan penantian 36 tahun Malaysia dengan merampas gelaran `Raja Pecut' Asia Tenggara selepas mengetepikan saingan sengit jaguh Thailand, Sittichai Suwonprateep dalam perlumbaan akhir 100 meter Sukan SEA XXII di Stadium My Dinh, di sini hari ini.

Bintang muda berusia 22 tahun itu, yang langsung tidak diberi harapan oleh kontinjen Malaysia, mencecah garisan penamat dengan kepantasan 10.47 saat.

Walaupun catatan itu masih jauh daripada rekod kebangsaan 10.30s, namun ia mencukupi untuknya membawa pulang pingat emas yang paling tidak diduga daripada acara trek.

Kali terakhir Malaysia merangkul emas 100m lelaki adalah menerusi G. Rajalingam pada Sukan SEAP 1967 di Bangkok manakala bekas jaguh pecut negara Watson Nyambek merupakan atlet terakhir memberikan pingat daripada acara paling popular dalam olahraga itu dengan meraih gangsa pada temasya di Brunei, 1999.

Nazmizan, yang mencatat masa terpantas pada peringkat saringan dengan 10.53s berlepas baik terutama pada 60m pertama.

Walaupun memperlahankan sedikit larian pada 40m terakhir, ia masih gagal untuk dipintas Sittichai yang sekadar meraih perak dengan 10.49s.

John Herman Muray dari Indonesia menjadi pencabar tidak diduga apabila merangkul gangsa dengan 10.59s, manakala seorang lagi jaguh Thailand yang juga pemenang pingat perak Sukan SEA 2001, Vissanu Sophanich berada di tangga keempat dengan 10.60s.

``Saya puas, puas sangat hari ini,'' kata Nazmizan, yang hanya diberi kepercayaan beraksi dalam acara 100m buat kali pertama selepas sekadar menganggotai kuartet 4x100m pada dua temasya terdahulu.

``Selama ini olahraga di pandang rendah, saya harap saya dapat meningkatkan imej sukan ini di mata semua. Harap kemenangan ini juga akan menjadi pemangkin kepada KOAM (Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia) dan MSN (Majlis Sukan Negara) untuk melahirkan lebih ramai pelari pecut.''

Menurut Nazmizan, dia turun ke trek dengan status underdog sekalipun mencatat masa terpantas di kalangan lapan peserta akhir tahun ini menerusi masa 10.38s yang dilakukan pada Sukan Universiti Sedunia di Korea Selatan, September lalu.

Malah juara kebangsaan itu, yang beraksi di Vietnam menerusi tiket merit selepas gagal melepasi had kelayakan - 10.37s tidak disenaraikan sebagai prospek pingat emas KOAM, yang menyasarkan enam emas daripada temasya kali ini.

``Terima kasih kepada jurulatih saya (Alex Sasha dari Rusia). Kemenangan ini juga saya tujukan buat semua rakyat Malaysia dan keluarga saya. Mereka sudah mengetahui mengenainya selepas menonton secara langsung di TV,'' katanya.

Selepas melakar sejarah sebagai lelaki pertama Malaysia bergelar raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan kini sudah mula mengintai untuk melangkah lebih jauh dengan memantapkan Sukan Asia 2006 sebagai sasaran terbaru.

Atlet kelahiran Dungun, Terengganu yang memiliki ketinggian 1.81m itu kini memburu kejuaraan berganda apabila beraksi dalam 200m lelaki Rabu ini.

Sekiranya Nazmizan, yang memegang catatan masa terbaik 21.13s dalam 200m mampu memenangi acara itu, dia bakal menjadi atlet lelaki pertama Malaysia berjaya mencatat kemenangan berganda - 100 dan 200m Sukan SEA XXII.

Selain menyaksikan kemenangan bersejarah Nazmizan, hari pertama olahraga turut menyumbangkan satu pingat gangsa menerusi Ngew Sin Mei dalam lompat kijang wanita.

Sin Mei, 22, pemegang rekod kebangsaan dengan 13.30m yang dilakukan di Jerman, Ogos lalu mencatat lompatan sejauh 13.29 untuk meraih gangsa di belakang peserta favourite dan penyandang juara, Wacharee Rittiwat yang mencatat 13.44m. Perak milik atlet tuan rumah, Nguyen Mai Quyng dengan lompatan 13.29m. - Utusan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm#ixzz4did4RF54
© Utusan Melayu (M) BhdS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan