Khamis, 28 Julai 2016

Prestasi Watson dalam perhatian

ARKIB : 21/03/1998
KELIBAT raja pecut negara, Watson Nyambek sememangnya dinantikan tetapi sejauh mana prestasi semasanya akan diukur apabila tirai Kejohanan Olahraga Terbuka Sarawak bermula di Stadium Sarawak hari ini, lapor ANUAR ARIFFIN.

Selepas kemunculannya dalam beberapa siri kejohanan peringkat tempatan dan antarabangsa tahun ini gagal menghasilkan sebarang kejayaan cemerlang, keupayaan Watson dilihat kerap tidak menentu.

Justeru, pelari kelahiran Miri, Sarawak itu perlu menjadikan kejohanan dua hari ini sebagai gelanggang memantapkan daya pecutan sebelum turun menggalas cabaran sebenar pada Sukan Komanwel ke-16 di Kuala Lumpur, September depan.

Bagi Watson, 21, inilah masa terbaik baginya mengikis kelemahan dalam usahanya memperbaiki catatan terbaik peribadi.

Catatan emas pelari yang terkenal dengan jolokan The Flying Dayak ini ialah 10.33s yang dicipta pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-6 di Pahang, dua tahun lalu.

Watson tiba di Kuching dua hari lalu bersama jurulatihnya, Mumtaz Jaafar.

Terbuka Sarawak turut menampilkan aksi beberapa pelari kebangsaan seperti P. Kunageswari dan Ganeswaran yang akan bersaing dalam acara 200m dan 400m.

Kemampuan Watson akan diuji oleh beberapa muka baru yang kini diasuh bagi mengambil tempat sebagai raja pecut negara suatu hari nanti.

Antaranya ialah Boniface Lejau, 16, dan Jiw William, 18, kedua-duanya dari Sarawak yang disebut-sebut berupaya memalitkan malu kepada Watson sebagai raja pecut terbaik negara setakat ini.

Masa terbaik Boniface ialah 11.06s yang dicipta pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) di Kuching tahun lalu manakala Jiw ialah 11.02s.

Sementara itu, Watson turut ingin bersaing dalam acara 200m yang bukan merupakan acara utamanya.

Ini diakui sendiri oleh jurulatihnya, Mumtaz yang berkata, beliau tidak menghalang Watson untuk menyertai acara tersebut.

''Walaupun prestasinya dalam acara 200m tidak begitu baik, hasratnya itu mungkin baik dari segi meningkatkan daya pecutan.

''Dia pernah beraksi dalam acara itu (200m) pada Kejohanan Olahraga Jemputan Kuala Lumpur tetapi gagal menyerlah,'' katanya di Kuching, semalam.

Mumtaz berkata, beliau yakin Watson dapat menghasilkan sesuatu yang terbaik dalam acara 100m kali ini.




Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0321&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4FmF0YLW8 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan