Selasa, 6 Disember 2016

Azmi gegar Darul Makmur

ARKIB : 17/07/1999
WATSON Nyambek berjabat tangan dengan Azmi Ibrahim (kanan) yang memenangi acara 100m dengan mencatat 10.39 saat di Kejohanan Kebangsaan di Kuantan semalam. - Gambar NAZUDEEN MAHMUD.

SETELAH sekian lama tersisih daripada arena olahraga negara, pelari pecut, Azmi Ibrahim kembali menggegar apabila mencatat 10.39s pada separuh akhir acara 100 meter di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia, semalam.

Catatan itu, sekali gus memastikan namanya dalam senarai ke Sukan SEA Brunei walaupun hanya dirakamkan ketika bersaing pada peringkat saringan. Had kelayakan bagi Sukan SEA ialah 10.52s

Pada peringkat akhir Azmi sekali lagi membuktikan dirinya masih merupakan antara pelari pecut terbaik negara apabila menyingkirkan pemegang rekod kebangsaan Watson Nyambek.

Bagaimanapun catatannya sepantas 10.63s itu jauh lebih perlahan, manakala Watson dengan masa 10.65s terpaksa berpuas hati di tempat kedua. Di tempat ketiga ialah peserta Pahang, R. Ghaneswaran (10.71s).

Azmi ketika ditemui berpuas hati dengan catatan tetapi yakin dapat belari lebih baik sekiranya tidak berlumba melawan angin.

''Perlumbaan hari ini (semalam) amat baik terutama di akhir perlumbaan apabila saya berjaya membuat pecutan untuk memintas Watson yang sedang mendahului,'' katanya.

Sementara itu, Watson berkata, kemenangan Azmi itu menunjukkan pelari itu kini sudah dapat mengembalikan prestasinya dan merupakan saingan yang harus diberi perhatian pada Sukan SEA nanti.

Beliau berkata, selain Azmi pelari-pelari seperti R. Ghaneswaran yang menduduki tempat ketiga dengan catatan 10.71s juga semakin meningkat dan ini merupakan satu perkembangan yang baik untuk sukan olahraga negara.

Sementara itu, kejohanan yang masuk hari ketiga hari ini turut diserikan dengan satu rekod kebangsaan oleh Tajuddin Abdullah dalam acara lompat bergalah dengan ketinggian 4.80m.

Biarpun sekadar tempat ketiga di belakang atlet Indonesia, Handiarsin Oslan dan Park Kyung Soo dari Korea, catatan itu mengatasi rekod kebangsaan yang dipegang oleh Teh Weng Chang (4.71 meter).

Bagaimanapun, dalam acara wanita, pelari-pelari negara jelas gagal menyaingi pelari negara lain.

Dalam acara 100m, tiga tempat teratas dikuasai oleh atlet luar, sementara atlet negara ketinggalan jauh dengan catatan terbaik dibuat oleh Carol Lucia Alfred dengan 12.31s untuk menduduki tangga keempat.

Oleh: YUSWANDI MAJID

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0717&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4S3qq9LHw © Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 2 Disember 2016

Watson gagal baiki rekod -- Olahraga Terbuka Negeri Sembilan

ARKIB : 10/05/1999z
HASRAT pelari pecut negara, Watson Nyambek membaiki catatan masa peribadinya dalam acara 100 meter Olahraga Terbuka Negeri Sembilan, terkandas akibat permulaan pertama yang dibatalkan pengadil.

Akibat tekanan bimbang dibatalkan lagi, Watson bagaimanapun terpaksa berpuas hati dengan catatan 10.67 saat pada perlumbaan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban, semalam.

Watson yang mewakili Bank Bumiputra Malaysia Berhad (BBMB) berkata, dia tetap menerima keputusan acara 100 meter itu biarpun catatan tersebut jauh di luar jangkauan matlamatnya.

''Saya agak tertekan dan ini menyebabkan tumpuan terganggu untuk memulakan larian pada kali kedua,'' katanya.

''Catatan ini kurang memuaskan. Apa pun saya akur kerana sudah lima bulan tidak bertanding pada kejohanan di luar dewan,'' katanya yang disaing sengit oleh Hamberi Mahat dan Tan Kok Lim.

Hamberi yang mewakili Maybank menduduki tempat kedua dengan catatan 10.78 saat manakala tempat ketiga milik Tan Kok Lim dari Sekolah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SAAS) Kajang, 10.82 saat.

Bagaimanapun, Watson berharap pemergiannya ke Eropah pada 22 Mei ini mampu membantu meningkatkan prestasinya sebelum menyertai Sukan SEA XX Brunei, Ogos ini.

''Di Eropah, saya akan menyertai enam pertandingan dan berharap dapat menjadi bekal untuk cemerlang pada Sukan SEA nanti.

''Saya berazam untuk memecahkan rekod kebangsaan pada tahun ini dan Sukan SEA,'' ujarnya yang diturut digelar Flying Dayak.

Masa terbaik yang pernah dicatatkan oleh Watson ialah 10.3s.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0510&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4RjxQf9Gy © Utusan Melayu (M) Bhd