Jumaat, 2 Disember 2016

Watson gagal baiki rekod -- Olahraga Terbuka Negeri Sembilan

ARKIB : 10/05/1999z
HASRAT pelari pecut negara, Watson Nyambek membaiki catatan masa peribadinya dalam acara 100 meter Olahraga Terbuka Negeri Sembilan, terkandas akibat permulaan pertama yang dibatalkan pengadil.

Akibat tekanan bimbang dibatalkan lagi, Watson bagaimanapun terpaksa berpuas hati dengan catatan 10.67 saat pada perlumbaan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban, semalam.

Watson yang mewakili Bank Bumiputra Malaysia Berhad (BBMB) berkata, dia tetap menerima keputusan acara 100 meter itu biarpun catatan tersebut jauh di luar jangkauan matlamatnya.

''Saya agak tertekan dan ini menyebabkan tumpuan terganggu untuk memulakan larian pada kali kedua,'' katanya.

''Catatan ini kurang memuaskan. Apa pun saya akur kerana sudah lima bulan tidak bertanding pada kejohanan di luar dewan,'' katanya yang disaing sengit oleh Hamberi Mahat dan Tan Kok Lim.

Hamberi yang mewakili Maybank menduduki tempat kedua dengan catatan 10.78 saat manakala tempat ketiga milik Tan Kok Lim dari Sekolah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SAAS) Kajang, 10.82 saat.

Bagaimanapun, Watson berharap pemergiannya ke Eropah pada 22 Mei ini mampu membantu meningkatkan prestasinya sebelum menyertai Sukan SEA XX Brunei, Ogos ini.

''Di Eropah, saya akan menyertai enam pertandingan dan berharap dapat menjadi bekal untuk cemerlang pada Sukan SEA nanti.

''Saya berazam untuk memecahkan rekod kebangsaan pada tahun ini dan Sukan SEA,'' ujarnya yang diturut digelar Flying Dayak.

Masa terbaik yang pernah dicatatkan oleh Watson ialah 10.3s.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0510&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4RjxQf9Gy © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan