Ahad, 2 April 2017

Nazmizan pelari pecut terpantas



ARKIB : 20/07/2003

Oleh YUSWANDI MAJID

NAZMIZAN Mohamad membuktikan keunggulannya sebagai pelari pecut nombor satu negara apabila mencatatkan masa terbaik untuk acara 100 meter tahun ini dengan 10.44s untuk memenangi acara itu pada Kejohanan Olahraga Terbuka Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan, semalam.

Masa itu yang juga catatan peribadi terbaiknya bagaimanpun masih gagal mengatasi had kelayakan Sukan SEA Vietnam iaitu 10.37s yang ditetapkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Di sebalik catatan yang baik itu, para penonton hampa apabila pelari Pahang, Azmi Ibrahim tidak memulakan perlumbaan kerana mengalami kekejangan otot di garisan permulaan.

Tempat kedua acara itu dimenangi oleh Hamberi Mahat yang mewakili Maybank dengan catatan 10.72s dan ketiga, Shahril Kadir dari Pahang dengan 10.77s.

Nazmizan berkata, walaupun gagal mengatasi had kelayakan Sukan SEA, dia tetap berpuas hati kerana catatan itu mengatasi masa peribadi terbaiknya sebelum ini, 10.52s.

``Memang ia menjadi sasaran utama saya pada kejohanan ini. Saya berharap dapat mencatatkan kepantasan lebih baik untuk layak ke Sukan SEA,'' katanya.

Menurut atlet itu, dia yakin dapat mencatatkan masa yang lebih baik lagi jika Azmi turut sama berlumba semalam.

Nazmizan berkata, dia masih berpeluang untuk mencatat masa yang lebih baik dalam tiga kejohanan yang akan disertainya bulan depan. Tiga kejohanan yang dimaksudkannya ialah Kejohanan Kebangsaan, Terbuka Sabah dan Kejohanan Antara Universiti di Korea.

Sementara itu, Azmi pula berkata dia begitu yakin ketika mahu memulakan acara itu. Bagaimanapun dia terpaksa melupakan larian apabila terasa sakit di paha kiri.

``Saya memang merasakan mampu berlari dengan baik hari ini (semalam) tetapi ketika berlepas terasa sakit di bahagian peha dan saya terpaksa mengambil keputusan tidak meneruskan larian kerana bimbang ia akan menyebabkan kecederaan lebih serius,'' katanya.

Katanya lagi, kecederaan itu sebelum ini pernah berlaku pada dirinya sehingga terpaksa berehat selama tiga minggu.

Hanya satu rekod baru kejohanan dicipta pada kejohanan itu semalam menerusi acara baling tukul besi yang dilakukan oleh atlet kebangsaan, Siti Shahidah Abdullah dengan jarak lontaran sejauh 48.26 meter.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0720&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4d6Eik3os
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan