ARKIB : 27/03/2002
KETIKA Kesatuan Olahraga Amatur
Malaysia (KOAM) kini hilang kuasa pengurusan berikutan penggantungan oleh
Pesuruhjaya Sukan 28 Februari lalu, mereka dijangka kehilangan seorang atlet
berpengalaman tidak lama lagi.
Atlet lari berpagar 110 meter,
Nur Herman Majid, 32, dijangka mengumumkan persaraannya secara rasmi, Jumaat
ini.
Bagi kalangan pegawai yang
terlibat dalam sukan olahraga, ia mungkin satu berita lama kerana Nur Herman
sebelum ini memang berhasrat untuk menggantung kasutnya dalam tempoh terdekat
ini.
Malah November tahun lalu, Nur
Herman sendiri sudah membayangkan kemungkinan terpaksa melupakan hasratnya
beraksi buat kali terakhir pada Sukan Asia di Busan, Korea 29 September hingga
14 Oktober depan.
Dan tindakan itu terpaksa diambil
sekiranya dia gagal mendapatkan penaja untuk membiayai latihannya.
Nur Herman ketika itu berkata,
dia memerlukan perbelanjaan tambahan RM1,000 hingga RM1,500 sebulan bagi
membiayai kos latihan yang akan dijalankan.
Persaraan Nur Herman pastinya
satu kehilangan besar dalam sukan olahraga negara kerana dia merupakan
penyumbang pingat emas dalam enam Sukan SEA berturut-turut - satu pencapaian
yang sukar untuk dicapai oleh mana-mana atlet negara.
Malah dalam usia melebihi 30
tahun, atlet itu masih menyumbang satu daripada lapan pingat emas yang
diperoleh menerusi acara itu dengan memperbaharui rekod temasya 14.02 saat.
Rekod lama temasya itu ialah 14.09 saat yang dilakukan pada Sukan SEA Jakarta
1997.
Catatan itu bagaimanapun gagal
memperbaharui rekod kebangsaan yang juga miliknya, 13.73 saat, catatan yang
dilakukan sewaktu Sukan Asia 1994 di Hiroshima.
Mengenai rancangan sesudah
bersara, Nur Herman berkata, dia merancang untuk mengadakan klinik seluruh
negara untuk meningkatkan minat remaja melibatkan diri dalam sukan olahraga
dengan menceritakan pengalamannya selama ini.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0327&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4byPz8IK5©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan