Selasa, 13 September 2016

Watson perak, Shanti gangsa


 

ARKIB : 21/07/1998
Watson perak, Shanti gangsa
PELARI China, Yan Jiankui (5), Cui Danfeng (6) dan G. Shanti dari Malaysia bersaing menuju ke garisan penamat acara akhir 100 meter wanita pada kejohanan Olahraga Asia (ATF) ke-12 di Fukuoka, Jepun. Jiankui menang pingat emas dengan 11.39 saat sementara Danfeng 11.42 pingat perak dan Shanti tempat ketiga 11.60s. - Gambar AFP.

RAJA pecut negara, Watson Nyambek meraih pingat perak acara 100 meter lelaki manakala G. Shanti meraih gangsa acara wanita untuk memberikan pingat pertama kepada kontinjen negara pada Kejohanan Olahraga Asia (ATF) di Fukuoka, Jepun, semalam.

Watson mencatat kepantasan 10.42 saat di belakang jaguh China, Zhao Wei yang memenangi emas dengan catatan 10.39s. Pingat gangsa dimenangi atlet tuan rumah, Hiroyasu Tsuchie dengan 10.44s. Manakala Shanti, juara berganda 100 dan 200m Sukan SEA 1997 di Jakarta, mencatat masa 11.60s, masa terbaiknya tahun ini.

Bagaimanapun, dia gagal memberi tentangan sengit apabila agak jauh di belakang dua pelari China, Yan Jiankui yang meraih emas dengan catatan 11.39s dan Cui Danfeng yang mencatat 11.42s untuk pingat perak.

Watson, 22, pemegang rekod kebangsaan 100m dengan 10.30s yang dicipta minggu lalu di Terbuka Malaysia, sebelum ini memenangi acara saringan dengan mencatat masa terpantas 10.40 pada separuh akhir.

Zhao Wei pula di tempat kedua dengan 10.47s tetapi begitu bertenaga pada acara akhir, menewaskan juara bertahan yang juga rakan senegaranya, Lin Wei yang sekadar menduduki tempat kelima dengan catatan masa 10.46s.

Kemenangan Watson dan Shanti itu memberikan pingat pertama untuk kontinjen negara pada hari kedua kejohanan selama tiga hari itu pada ketika atlet lain gagal menyerlah.

Pemenang emas berganda di Jakarta, M. Ramachandran sekadar menduduki tempat keenam acara 10,000m akhir dengan catatan 30:30.00s.

Emas dimenangi pelari Korea, Baek Seung-Do dengan kepantasan 30:12.26s manakala perak dimenangi pelari Jepun, Toshihiro Iwasa dengan 30:12.57s dan gangsa diraih pelari India, Ghulab Chand dengan 30:14.69s.

A. Munusamy sekadar menduduki tempat kesembilan acara 1,500m lelaki dengan 3:52.22s.

Acara itu dimenangi oleh pelari Qatar, Mohd. Ahmad Sulaiman yang mencatat 3:43.70s untuk emas manakala Kiyonari Shibata dari Jepun, perak dengan 3:44.38s. Gangsa diraih oleh pelari China, Ching Bing, 3:44.92s.

Seorang lagi pemenang emas berganda di Jakarta, Mohd. Zaki Sadri gagal membuat lompatan terbaik apabila sekadar melompat 7.59m untuk menduduki tempat keenam acara lompat jauh.

Acara itu dikuasai atlet tuan rumah, Masaki Morinaga dengan jarak lompatan 8.08m untuk pingat emas manakala atlet China, Liu Hongning melompat sejauh 7.97m untuk perak. Rakan senegara Masaki, Shigeru Tagawa meraih gangsa dengan lompatan 9.76m.

Nur Herman Majid gagal melepasi saringan acara 110m lari berpagar apabila sekadar mencatat 14.70s di tempat kedua saringan kedua.

Teoh Boon Lim menduduki tempat kelapan acara 20km jalan kaki lelaki dengan catatan 1 jam 36 minit 09 saat manakala Yuan Yu Fang dan Annastasia Karen Raj masing-masing turut gagal menyumbang sebarang pingat acara 10km jalan kaki wanita.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0721&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4K9EbhsyQ © Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 12 September 2016

Insentif Paralimpik tertinggi di dunia

Oleh SHAHRIL NIZAM
ABDULLAH dan MUHAMMAD ­ZUHAILY BADLISHAH
 
KUALA LUMPUR – Malaysia menjadi negara yang menawarkan insentif paling tinggi di dunia iaitu sebanyak RM1 juta untuk atlet yang berjaya menggondol pingat emas dalam Sukan Paralimpik berbanding negara-negara lain.

Walaupun Singapura menjadi negara paling mewah di dunia menghadiahkan wang tunai kepada pemenang pingat emas Olimpiknya iaitu sebanyak RM3.03 juta, namun negara tersebut hanya menawarkan sebanyak RM606,088 kepada atlet Paralimpik mereka.

Durian runtuh untuk atlet Paralimpik negara dihadiahkan oleh kerajaan selepas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada penghujung Ogos lalu mengumumkan ganjaran yang bakal diterima oleh atlet Paralimpik adalah sama seperti yang diberikan kepada atlet Olimpik.

Khairy kelmarin sekali lagi menegas, ganjaran tersebut adalah berpadanan dengan pengorbanan dan kejayaan mereka yang membanggakan Malaysia.

“Kejayaan dan pengorbanan atlet para harus dihargai seperti atlet lain, bukan 30 peratus dari atlet ‘biasa’. Saya tidak tahu bagaimana untuk berasa hanya 30 peratus bangga dengan mereka,” kata Khairy dalam satu kenyataan di Facebook.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0913&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz4K5mjU0Lu
Hakcipta terpelihara


Latif jaguh dunia

Oleh MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH
 
ATLET paralimpik negara, Abdul Latif Romly kini bergelar juara dunia.

Penat lelahnya selama ini berbaloi apabila meraih pingat emas acara lompat jauh kategori T20 (masalah pembelajaran) pada Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro lewat malam kelmarin.

Kejayaan itu bakal menyaksikan atlet yang berasal dari Arau, Perlis itu menerima imbuhan RM1 juta di bawah skim Hadiah Kemenangan Sukan Majlis Sukan Negara, selain menerima pencen RM5,000 sebulan.

Latif, 19, yang meraih pingat emas acara tersebut dengan lompatan sejauh 7.60 meter (m), kini muncul pemegang baharu rekod dunia acara berkenaan.

Walaupun belum menerima imbuhan RM1 juta itu, namun Latif sudah mempunyai perancangan tersendiri iaitu untuk menggunakan sumbangan ganjaran tersebut membina rumah baharu serta menghantar ibu bapanya, Romly Mat, 63, dan Salmah Yatim, 58, menunaikan ibadah umrah kelak.

“Saya akan menggunakan RM1 juta Itu untuk bina rumah dekat kampung (Kampung Paya Kelubi, Bukit Keteri) dan hantar emak ayah pergi umrah,” kata Latif ketika dihubungi di Rio semalam.

Pada penampilannya di Rio, Latif berjaya mengatasi rekod dunia sebanyak tiga kali menerusi enam percubaannya pada aksi final acara lompat jauh di Stadium Olimpik itu kelmarin.

Pemenang pingat emas Kejohanan Dunia IPC 2015 di Doha, Qatar itu memecahkan rekod dunia, 7.35m milik atlet Sepanyol, Jose Exposito pada percubaan kedua dengan lompatan sejauh 7.47m.

Latif yang turut memenangi pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) 2016 di Kuching, Sarawak, sekali lagi meleburkan rekod itu pada lompatan ketiga dengan jarak 7.54m.

Tidak terhenti di situ, dia yang menerima laungan semangat ‘Terbang Latif Terbang’ berjaya memecahkan rekod dunia buat kali ketiga dengan catatan 7.60m pada lompatan kelima.

“Saya sangat berpuas hati kerana dapat memperbaharui rekod dunia. Saya ingin menghadiahkan pingat emas ini kepada seluruh ahli keluarga, para jurulatih saya dan semua rakyat Malaysia yang mendoakan kejayaan ini,” jelas Latif.

Catatan itu ternyata sukar dicabar pemenang pingat perak, Zoran Talic dari Croatia (7.12m) dan atlet Ukraine, Dmytro Prudnikov yang memenangi tempat ketiga dengan jarak 6.99m.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0913&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4K5eVdmbA Hakcipta terpelihara

Abdul Latif Romly, anda luar biasa!

Pemimpin negara lahirkan rasa bangga dengan kejayaan skuad negara bawa pulang tiga emas
MOHD. ASRON MUSTAPHA  |  13 September 2016 1:20 AM

Muhammad Ziyad Zolkefli

KUALA LUMPUR 12 Sept. - Sejarah yang tercipta di Rio de Janerio dengan empat rekod dunia berserta satu rekod Paralimpik oleh Muhammad Ziyad Zolkefli, Abdul Latif Romly dan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi menarik segenap rakyat termasuk pemimpin negara untuk memahatkan ucapan tahniah.
Bangga dengan kejayaan skuad Paralimpik negara membawa pulang tiga emas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meluahkan kekaguman beliau terutamanya selepas melihat bagaimana Abdul Latif meme­cahkan tiga rekod dunia bagi acara lompat jauh kategori T20 dalam satu malam.
“Cipta tiga rekod dunia dalam satu malam, pecahkan rekod sendiri. Abdul Latif Romly, anda luar biasa! Tahniah. Emas ketiga Malaysia di temasya Paralimpik Rio 2016,” kata Najib menerusi laman Twitter sebaik sahaja atlet berusia 19 tahun itu mencatatkan lompatan sejauh 7.60 meter.
Pingat emas pertama negara diperoleh menerusi pelari pecut, Mohamad Ridzuan, dalam acara 100 meter T36, diikuti pula pingat emas kedua yang disumbangkan Muhammad Ziyad menerusi acara lontar peluru, sebelum Abdul Latif melengkap hari bersejarah Malaysia dalam tempoh kurang 24 jam.
Terdahulu Perdana Menteri mengucapkan tahniah kepada Mohamad Ridzuan dan Muhammad Ziyad yang lebih awal melakarkan kegemilangan buat skuad negara sehingga menyaksikan nyanyian lagu Negaraku berkumandang buat pertama kalinya dalam sejarah penyertaan Malaysia di temasya Paralimpik.
“Hari bersejarah untuk Malaysia, Negaraku berkumandang buat pertama kali di #Rio2016. Kita bawa pulang bukan satu tapi dua emas!#Paralympics. Syabas Ridzuan dan Ziyad yang turut mencatatkan rekod dunia. Seluruh negara berbangga dengan pencapaian anda,” katanya.
Sama seperti Perdana Menteri, pemimpin nombor dua negara, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga dilihat begitu teruja dengan kejayaan emas ‘hatrik’ yang diraih skuad Paralimpik dalam tempoh sehari dan beliau berkongsi rasa tersebut dengan orang ramai menerusi akaun Twitter miliknya.
“Kejayaan hatrik emas dan cipta rekod dunia dalam sehari di #Paralympics #Rio2016. Tahniah Abdul Latif Romly dan atlet-atlet Malaysia,” kata Timbalan Perdana Menteri yang sebelum itu memuji pencapaian gemilang Mohamad Ridzuan dan Muhammad Ziyad.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pula berkata, Abdul Latif adalah seorang legenda kerana keupayaannya memecahkan rekod dunia sebanyak tiga kali dan kebolehan tersebut tegas beliau hanya mampu dilakukan oleh sebilangan kecil manusia luar biasa.
“Emas ketiga untuk Malaysia! Berjaya pecahkan rekod dunia tiga kali. Ya, tiga. Tak payah tulis apa lagi dah. Latif Romli, anda adalah legenda! Sangat luar biasa, manusia luar biasa!” kata Khairy menerusi laman Facebook miliknya.

- Sumber-: http://www.utusan.com.my/sukan/abdul-latif-romly-anda-luar-biasa-1.382236#sthash.ODf0KhCk.dpuf

Azmi catat 10.5 saat

ARKIB : 05/07/1998
Azmi catat 10.5 saat
JAGUH pecut negara, Azmi Ibrahim yang kini bebas daripada hukuman penggantungan selama dua tahun oleh Persekutuan Olahraga Amatur Antarabangsa (IAAF) kembali mempamerkan keunggulannya.

Dia membuktikan keupayaannya apabila mencatatkan masa 10.5 saat dalam acara 100 meter pada Kejohanan Olahraga Terbuka Johor di Stadium Kluang, Johor, petang semalam.

Azmi yang bersyukur dengan kejayaan itu berjanji untuk berusaha lebih gigih pada Kejohanan Pra-Sukan Komanwel di Kuala Lumpur dari 12 hingga 15 Julai ini.

Azmi kembali membuktikan keupayaannya, sekali gus memperbaiki catatan masa bagi melayakkan diri ke Sukan Komanwel ke-16, September ini.

Kejohanan anjuran oleh Persatuan Olahraga Amatur Johor (POAJ) dan Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) itu menyaksikan Azmi menewaskan pencabar terdekat iaitu L. Paneerselvam dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mencatatkan masa 10.8 saat.

Tempat ketiga, Arif Junet dari Pusat Cemerlang Angkatan Tentera Malaysia dengan masa 10.9 saat dan Mohd. Rashid Md. Abu dari Kota Tinggi di tempat keempat dengan catatan 11.1 saat.

Pada peringkat saringan, Azmi mencatatkan masa sekadar mencatat masa 10.6 saat.

Sebaik menamatkan perlumbaan itu Azmi terus dibawa ke sebuah bilik oleh pegawai perubatan untuk menjalani ujian air kencing.

Dia sebelum ini menjalani penggantungan dua tahun setelah didapati bersalah menggunakan dadah terlarang furosemide ketika beraksi pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-6 di Kuantan pada 1996.

Contoh air kencing itu akan dihantar ke Sydney dan sekiranya ia negatif, Azmi akan dibenarkan beraksi pada Kejohanan Pra-Sukan Komanwel.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0705&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4K2U4Me00 © Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 10 September 2016

Nor Azura berazam catatan masa 12s


 

ARKIB : 03/06/1998
Nor Azura berazam catatan masa 12s
NIK NOR AZURA NIK MAHMOOD.

RATU pecut sedang meningkat, Nik Nor Azura Nik Mahmood berazam mengharumkan nama Malaysia pada Kejohanan Olahraga Remaja Olimpik di Moscow pada 9-24 Julai ini.

''Saya akan membuktikan kemapuan atlet Malaysia bersaing di peringkat antarabangsa,'' kata Nik Nor Azura yang berasal dari Taman Desa Putera di Kuala Terengganu dalam satu pertemuan dengan Bernama semalam.

Nik Nor Azura, 17, yang turut terpilih menyertai kejohanan di Moscow itu, mengejutkan peminat olahraga apabila mencipta rekod baru 100m Sukan Malaysia (Sukma) dengan catatan 12.15s (rekod lama 12.23s) di Shah Alam April lepas.

Beliau berjanji akan cuba memperbaiki catatan masa kepada 12 saat di Moscow. Jurulatihnya Eldurin Ozolin yakin atlet ini mampu mencatat dibawah paras itu.

Azura berkata kejohanan Olimpik remaja itu merupakan penyertaannya yang kedua peringkat antarabangsa tahun ini selepas Kejohanan Sekolah-Sekolah ASEAN di Filipina akhir bulan lepas.

Pada kejohanan di Manila itu, Azura berjaya memungut pingat emas 100m dan 200m dan pingat perak 400x100m.

Penuntut tingkatan lima Sekolah Menengah Sultan Abdul Aziz Shah, Kajang, Selangor ini berkata beliau akan mengambil bahagian dalam acara kegemarannya 100m, 200m dan 4x100m di Moscow nanti.

Beberapa atlet remaja lain juga terpilih mewakili negara pada kejohanan itu.

Azura berkata kejohanan di Moscow akan memberi banyak pengalaman kepadanya dalam memenuhi cita-cita menjadi ratu pecut negara.

Beliau yang mendapat galakan daripada keluarga pernah mewakili Malaysia pada kejohanan antarabangsa peringkat umur 15 tahun di Australia.

Katanya kejohanan itu banyak memberi bimbingan dan pengajaran serta mendorong beliau memperbaiki larian.

Bagaimanapun bintangnya mula menyerlah pada Sukma tahun ini apabila mengejutkan peminat olahraga dengan memenangi pingat emas 100m dengan rekod baru.

''Saya banyak berterima kasih kepada jurulatih Rusia, Ozolin. Dia banyak membantu memperbaiki larian saya,'' kata Azura yang mempunyai empat adik yang juga meminati sukan olahraga. _ Bernama.




SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0603&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4Js6rq4Vp © Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 3 September 2016

Ghanes lebih pantas

ARKIB : 24/04/1998
 
JUARA BARU... Nik Nor Azura Nik Mahmood dari Terengganu (gambar kiri) mengangkat tangan dan R. Ghaneswaran dari Pahang (gambar kanan) menerjah ke garisan penamat untuk masing-masing meraih pingat emas acara 100 meter wanita dan lelaki pada Sukma VII di Stadium Shah Alam, semalam. Nik Nor Azura mencatat 12.15 saat yang juga rekod baru Sukma untuk ditabal Ratu Pecut Sukma manakala Ghaneswaran mencatat 10.51 saat untuk Raja Pecut Sukma kali ini. - Gambar ASWAD YAHYA.

PELARI Pahang, R. Ghaneswaran dan pelari Terengganu, Nik Nor Azura Nik Mahmood memukau penonton di Stadium Shah Alam apabila masing-masing meraih pingat emas acara 100 meter lelaki dan wanita pada Sukma VII, semalam.

Ghaneswaran, 21, mencatat masa terpantas 10.51 saat, memusnahkan harapan pelari favourite dari Selangor yang disebut-sebut bakal memenangi acara itu, Hamberi Mahat, untuk dimahkotakan raja pecut Sukma VII.

Lebih menarik dalam acara wanita, Nik Nor Azura, 17, berjaya memadamkan rekod Sukma apabila melintasi garisan penamat dengan catatan 12.15 saat.

Rekod Sukma sebelum ini dipegang oleh Yew Chai Peng dari Perak dengan masa 12.23s yang dicipta pada Sukma VI di Kuantan, dua tahun lalu.

Begitupun, catatan Ghaneswaran gagal meleburkan rekod Sukma yang masih dipegang oleh jaguh pecut negara, Watson Nyambek yang melakukan 10.33s pada Sukma VI di Kuantan, dua tahun lalu.

Nik Nor Azura sebelum ini sudah memecah rekod 100m Sukma apabila melakukan catatan 12.20s pada peringkat saringan, kelmarin.

Semalam, dia yang berlari di lorong kelima berlepas dengan baik dan memecut laju di depan meninggalkan pelari pilihan dari Selangor, Ng Bee Lian yang berlari di lorong ketiga.

Bee Lian bagaimanapun berjaya meraih pingat perak dengan catatan 12.23s manakala gangsa dimenangi pelari Pulau Pinang, Law Chew Yong dengan catatan 12.52s.

Ghaneswaran, pemenang pingat gangsa acara 200m dan tempat ketujuh 100m pada Sukan SEA di Jakarta Oktober tahun lalu serta juara Grand Prix Olahraga Terbuka Kebangsaan tahun lalu, berlari di lorong keenam tetapi membuat permulaan larian yang buruk.

Kesempatan itu diambil oleh Hamberi yang berlari di sebelahnya dan Tan Kok Lim dari Perak yang meluru laju di depan pada 50 meter pertama.

Begitupun, pengalaman yang ada pada Ganeshwaran digunakan sepenuhnya apabila pantas membuat pecutan pada 10 meter terakhir untuk memintas Hamberi dan Kok Lim sebelum melintas bergaya di garisan penamat.

Hamberi, 20, yang mempunyai catatan terbaik 10.45s yang dilakukan pada Terbuka Pahang bulan lepas, mencatat 10.52s untuk meraih perak manakala Kok Lim mencatat 10.56s untuk pingat gangsa.

Pada Sukma VI di Kuantan, Ganeshwaran menduduki tempat ketiga di belakang Watson dan seorang lagi jaguh pecut Azmi Ibrahim dengan catatan 10.75s.

Watson ketika itu mencatat 10.33s yang juga rekod baru kebangsaan manakala Azmi mencatat 10.56s.

''Saya lega kerana ini adalah kemenangan pertama saya. Malah saya sendiri tidak menyangka akan muncul juara menewaskan Hamberi,'' ujar Ghaneswaran ketika ditemui selepas tamat perlumbaan itu.

Atlet itu kini mengidam mahu mengungguli acara kegemarannya 200m yang dijadualkan hari ini.

Sementara itu, Hamberi jelas kecewa hingga terpaksa ditenteramkan oleh jurulatih kebangsaan Mumtaz Jaafar kerana gagal merealitikan impiannya untuk dimahkotakan Raja Pecut Sukma kali ini.

''Sepatutnya perlumbaan ini menjadi milik saya. Sewaktu saya memintas Kok Lim saya rasa nak terjatuh sewaktu berada pada jarak 10m ke garisan penamat.

''Saya sendiri tidak tahu macam mana ia boleh terjadi begitu secara tiba-tiba hingga membolehkan Ghaneswaran meluru memintas saya,'' ujar Hamberi.

Atlet kelahiran Pontian, Johor itu mengakui tumpuannya dan rentak lariannya terjejas setelah berlaku dua kali pembatalan pelepasan.

''Mungkin ini sudah nasib saya terjadi begini. Memang saya rasa kecewa kerana sepatutnya ini adalah perlumbaan saya,'' ujar Hamberi lagi.

Bagaimanapun pertembungan dramatik acara itu terjejas apabila berlaku dua kali pembatalan pelepasan. Yang pertama dilakukan Namizan Muhamad dari Terengganu dan kedua oleh Hamberi.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0424&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4JBsSJBiw © Utusan Melayu (M) Bhd