Isnin, 12 September 2016

Azmi catat 10.5 saat

ARKIB : 05/07/1998
Azmi catat 10.5 saat
JAGUH pecut negara, Azmi Ibrahim yang kini bebas daripada hukuman penggantungan selama dua tahun oleh Persekutuan Olahraga Amatur Antarabangsa (IAAF) kembali mempamerkan keunggulannya.

Dia membuktikan keupayaannya apabila mencatatkan masa 10.5 saat dalam acara 100 meter pada Kejohanan Olahraga Terbuka Johor di Stadium Kluang, Johor, petang semalam.

Azmi yang bersyukur dengan kejayaan itu berjanji untuk berusaha lebih gigih pada Kejohanan Pra-Sukan Komanwel di Kuala Lumpur dari 12 hingga 15 Julai ini.

Azmi kembali membuktikan keupayaannya, sekali gus memperbaiki catatan masa bagi melayakkan diri ke Sukan Komanwel ke-16, September ini.

Kejohanan anjuran oleh Persatuan Olahraga Amatur Johor (POAJ) dan Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) itu menyaksikan Azmi menewaskan pencabar terdekat iaitu L. Paneerselvam dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mencatatkan masa 10.8 saat.

Tempat ketiga, Arif Junet dari Pusat Cemerlang Angkatan Tentera Malaysia dengan masa 10.9 saat dan Mohd. Rashid Md. Abu dari Kota Tinggi di tempat keempat dengan catatan 11.1 saat.

Pada peringkat saringan, Azmi mencatatkan masa sekadar mencatat masa 10.6 saat.

Sebaik menamatkan perlumbaan itu Azmi terus dibawa ke sebuah bilik oleh pegawai perubatan untuk menjalani ujian air kencing.

Dia sebelum ini menjalani penggantungan dua tahun setelah didapati bersalah menggunakan dadah terlarang furosemide ketika beraksi pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-6 di Kuantan pada 1996.

Contoh air kencing itu akan dihantar ke Sydney dan sekiranya ia negatif, Azmi akan dibenarkan beraksi pada Kejohanan Pra-Sukan Komanwel.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0705&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4K2U4Me00 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan