Isnin, 12 September 2016

Abdul Latif Romly, anda luar biasa!

Pemimpin negara lahirkan rasa bangga dengan kejayaan skuad negara bawa pulang tiga emas
MOHD. ASRON MUSTAPHA  |  13 September 2016 1:20 AM

Muhammad Ziyad Zolkefli

KUALA LUMPUR 12 Sept. - Sejarah yang tercipta di Rio de Janerio dengan empat rekod dunia berserta satu rekod Paralimpik oleh Muhammad Ziyad Zolkefli, Abdul Latif Romly dan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi menarik segenap rakyat termasuk pemimpin negara untuk memahatkan ucapan tahniah.
Bangga dengan kejayaan skuad Paralimpik negara membawa pulang tiga emas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meluahkan kekaguman beliau terutamanya selepas melihat bagaimana Abdul Latif meme­cahkan tiga rekod dunia bagi acara lompat jauh kategori T20 dalam satu malam.
“Cipta tiga rekod dunia dalam satu malam, pecahkan rekod sendiri. Abdul Latif Romly, anda luar biasa! Tahniah. Emas ketiga Malaysia di temasya Paralimpik Rio 2016,” kata Najib menerusi laman Twitter sebaik sahaja atlet berusia 19 tahun itu mencatatkan lompatan sejauh 7.60 meter.
Pingat emas pertama negara diperoleh menerusi pelari pecut, Mohamad Ridzuan, dalam acara 100 meter T36, diikuti pula pingat emas kedua yang disumbangkan Muhammad Ziyad menerusi acara lontar peluru, sebelum Abdul Latif melengkap hari bersejarah Malaysia dalam tempoh kurang 24 jam.
Terdahulu Perdana Menteri mengucapkan tahniah kepada Mohamad Ridzuan dan Muhammad Ziyad yang lebih awal melakarkan kegemilangan buat skuad negara sehingga menyaksikan nyanyian lagu Negaraku berkumandang buat pertama kalinya dalam sejarah penyertaan Malaysia di temasya Paralimpik.
“Hari bersejarah untuk Malaysia, Negaraku berkumandang buat pertama kali di #Rio2016. Kita bawa pulang bukan satu tapi dua emas!#Paralympics. Syabas Ridzuan dan Ziyad yang turut mencatatkan rekod dunia. Seluruh negara berbangga dengan pencapaian anda,” katanya.
Sama seperti Perdana Menteri, pemimpin nombor dua negara, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga dilihat begitu teruja dengan kejayaan emas ‘hatrik’ yang diraih skuad Paralimpik dalam tempoh sehari dan beliau berkongsi rasa tersebut dengan orang ramai menerusi akaun Twitter miliknya.
“Kejayaan hatrik emas dan cipta rekod dunia dalam sehari di #Paralympics #Rio2016. Tahniah Abdul Latif Romly dan atlet-atlet Malaysia,” kata Timbalan Perdana Menteri yang sebelum itu memuji pencapaian gemilang Mohamad Ridzuan dan Muhammad Ziyad.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pula berkata, Abdul Latif adalah seorang legenda kerana keupayaannya memecahkan rekod dunia sebanyak tiga kali dan kebolehan tersebut tegas beliau hanya mampu dilakukan oleh sebilangan kecil manusia luar biasa.
“Emas ketiga untuk Malaysia! Berjaya pecahkan rekod dunia tiga kali. Ya, tiga. Tak payah tulis apa lagi dah. Latif Romli, anda adalah legenda! Sangat luar biasa, manusia luar biasa!” kata Khairy menerusi laman Facebook miliknya.

- Sumber-: http://www.utusan.com.my/sukan/abdul-latif-romly-anda-luar-biasa-1.382236#sthash.ODf0KhCk.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan