Ahad, 26 November 2017

Rayzamsyah catat rekod Sukma

ARKIB : 08/06/2008
KUALA TERENGGANU - Atlet Sabah, Rayzamsyah Wan Sofian memperbaharui rekod 110 meter lari berpagar Sukan Malaysia (Sukma) dengan masa 14.10 saat di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, semalam.

Atlet kebangsaan yang juga pemenang pingat emas dan pemegang rekod Sukan SEA acara tersebut, tidak dicabar untuk mengatasi rekod Sukma Mohd. Faiz Muhammad, 14.24s yang dicipta pada Sukma 2004 di Negeri Sembilan.

Ia merupakan pingat emas kedua Rayzamshah pada Sukma kali ini selepas meraih emas pertama dalam acara 4x100m lelaki, semalam.

Rayzamsyah yang memiliki catatan terbaik 13.93s yang diciptanya di Sukan SEA Korat, berkata, walaupun memperbaharui rekod Sukma, dia kecewa kerana gagal mengatasi masa kelayakan kategori B Olimpik iaitu 13.72s.

Jelasnya, dia kurang berpuas hati ketika memulakan pecut kerana gangguan akibat pembatalan permulaan, juga cuaca yang terlalu panas.

''Saya ke sini dengan matlamat untuk melepasi masa kelayakan ke Olimpik namun gagal disebabkan beberapa faktor antaranya kurang mendapat saingan.

''Tetapi kejayaan melebur rekod kejohanan ini sedikit sebanyak memberi semangat untuk saya mencatat masa yang lebih baik untuk layak ke Olimpik pada Kejohanan Grand Prix Asia di Thailand dan Vietnam tidak lama lagi," katanya.

Pingat perak acara itu dimenangi Mohd. Muslin Sidek dari Terengganu (14.79s) manakala gangsa milik pelari Johor, Mohamad Rohaizad Jamil (14.91s).

Sebelum itu, tuan rumah terus menuai emas dalam acara olahraga menerusi Azizah Ibrahim yang menjuarai acara 100m lari berpagar dengan masa 14.47s, diikuti pelari Selangor, Raja Nursheena Raja Azhar (14.52s) dan ketiga, Khoo Woan Chern dari Johor (14.64s).
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0608&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zaE0s6Kw

© Utusan Melayu (M) Bhd