Sabtu, 3 September 2016

Ghanes lebih pantas

ARKIB : 24/04/1998
 
JUARA BARU... Nik Nor Azura Nik Mahmood dari Terengganu (gambar kiri) mengangkat tangan dan R. Ghaneswaran dari Pahang (gambar kanan) menerjah ke garisan penamat untuk masing-masing meraih pingat emas acara 100 meter wanita dan lelaki pada Sukma VII di Stadium Shah Alam, semalam. Nik Nor Azura mencatat 12.15 saat yang juga rekod baru Sukma untuk ditabal Ratu Pecut Sukma manakala Ghaneswaran mencatat 10.51 saat untuk Raja Pecut Sukma kali ini. - Gambar ASWAD YAHYA.

PELARI Pahang, R. Ghaneswaran dan pelari Terengganu, Nik Nor Azura Nik Mahmood memukau penonton di Stadium Shah Alam apabila masing-masing meraih pingat emas acara 100 meter lelaki dan wanita pada Sukma VII, semalam.

Ghaneswaran, 21, mencatat masa terpantas 10.51 saat, memusnahkan harapan pelari favourite dari Selangor yang disebut-sebut bakal memenangi acara itu, Hamberi Mahat, untuk dimahkotakan raja pecut Sukma VII.

Lebih menarik dalam acara wanita, Nik Nor Azura, 17, berjaya memadamkan rekod Sukma apabila melintasi garisan penamat dengan catatan 12.15 saat.

Rekod Sukma sebelum ini dipegang oleh Yew Chai Peng dari Perak dengan masa 12.23s yang dicipta pada Sukma VI di Kuantan, dua tahun lalu.

Begitupun, catatan Ghaneswaran gagal meleburkan rekod Sukma yang masih dipegang oleh jaguh pecut negara, Watson Nyambek yang melakukan 10.33s pada Sukma VI di Kuantan, dua tahun lalu.

Nik Nor Azura sebelum ini sudah memecah rekod 100m Sukma apabila melakukan catatan 12.20s pada peringkat saringan, kelmarin.

Semalam, dia yang berlari di lorong kelima berlepas dengan baik dan memecut laju di depan meninggalkan pelari pilihan dari Selangor, Ng Bee Lian yang berlari di lorong ketiga.

Bee Lian bagaimanapun berjaya meraih pingat perak dengan catatan 12.23s manakala gangsa dimenangi pelari Pulau Pinang, Law Chew Yong dengan catatan 12.52s.

Ghaneswaran, pemenang pingat gangsa acara 200m dan tempat ketujuh 100m pada Sukan SEA di Jakarta Oktober tahun lalu serta juara Grand Prix Olahraga Terbuka Kebangsaan tahun lalu, berlari di lorong keenam tetapi membuat permulaan larian yang buruk.

Kesempatan itu diambil oleh Hamberi yang berlari di sebelahnya dan Tan Kok Lim dari Perak yang meluru laju di depan pada 50 meter pertama.

Begitupun, pengalaman yang ada pada Ganeshwaran digunakan sepenuhnya apabila pantas membuat pecutan pada 10 meter terakhir untuk memintas Hamberi dan Kok Lim sebelum melintas bergaya di garisan penamat.

Hamberi, 20, yang mempunyai catatan terbaik 10.45s yang dilakukan pada Terbuka Pahang bulan lepas, mencatat 10.52s untuk meraih perak manakala Kok Lim mencatat 10.56s untuk pingat gangsa.

Pada Sukma VI di Kuantan, Ganeshwaran menduduki tempat ketiga di belakang Watson dan seorang lagi jaguh pecut Azmi Ibrahim dengan catatan 10.75s.

Watson ketika itu mencatat 10.33s yang juga rekod baru kebangsaan manakala Azmi mencatat 10.56s.

''Saya lega kerana ini adalah kemenangan pertama saya. Malah saya sendiri tidak menyangka akan muncul juara menewaskan Hamberi,'' ujar Ghaneswaran ketika ditemui selepas tamat perlumbaan itu.

Atlet itu kini mengidam mahu mengungguli acara kegemarannya 200m yang dijadualkan hari ini.

Sementara itu, Hamberi jelas kecewa hingga terpaksa ditenteramkan oleh jurulatih kebangsaan Mumtaz Jaafar kerana gagal merealitikan impiannya untuk dimahkotakan Raja Pecut Sukma kali ini.

''Sepatutnya perlumbaan ini menjadi milik saya. Sewaktu saya memintas Kok Lim saya rasa nak terjatuh sewaktu berada pada jarak 10m ke garisan penamat.

''Saya sendiri tidak tahu macam mana ia boleh terjadi begitu secara tiba-tiba hingga membolehkan Ghaneswaran meluru memintas saya,'' ujar Hamberi.

Atlet kelahiran Pontian, Johor itu mengakui tumpuannya dan rentak lariannya terjejas setelah berlaku dua kali pembatalan pelepasan.

''Mungkin ini sudah nasib saya terjadi begini. Memang saya rasa kecewa kerana sepatutnya ini adalah perlumbaan saya,'' ujar Hamberi lagi.

Bagaimanapun pertembungan dramatik acara itu terjejas apabila berlaku dua kali pembatalan pelepasan. Yang pertama dilakukan Namizan Muhamad dari Terengganu dan kedua oleh Hamberi.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0424&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4JBsSJBiw © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan